» » Wanita 70 tahun dipaksa tanggalkan 2 batang gigi emasnya selain dirompak di Sarawak


Tidak hanya kehilangan buku akaun dan barang kemas, seorang wanita warga emas turut dipaksa menanggalkan dua gigi emas miliknya dalam satu rompakan di Jalan Nyelong, di sini, semalam.

Malah, mangsa yang berusia 70 tahun itu turut dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya, termasuk muka dan kaki, apabila terjatuh sebelum terseret oleh kenderaan dinaiki dua penjenayah terbabit, masing-masing seorang wanita serta lelaki, dalam usaha mereka meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Mat Jusoh Mohamad ketika mengesahkan kejadian memaklumkan mangsa didatangi seorang wanita tidak dikenali atas alasan mahu meminjam buku akaun bagi mengeluarkan wang kebajikan miliknya.

"Bagaimanapun, mangsa enggan menurut permintaan itu sebelum wanita terbabit menariknya masuk ke dalam sebuah kereta jenis PROTON Saga berwarna merah.

'Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipaksa menanggalkan dua gigi emas miliknya, selain anting-anting dipakainya," katanya pada sidang media, di sini, petang tadi.

Katanya, wanita warga emas itu kemudian ditinggalkan di sebuah kawasan sunyi berhampiran Jambatan Nyelong, sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.

"Mangsa cuba menahan kenderaan suspek, namun terjatuh hingga menyebabkannya mengalami kecederaan. Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan beransur pulih," katanya.

Berikutan itu, Mat Jusoh mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang janji atau tawaran orang tidak dikenali bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Polis meminta kerjasama orang ramai menghubungi Balai Polis Sarikei 084-652222 atau 019-9393197 jika ada maklumat berhubung kejadian itu. Kita tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek masih berada dalam kawasan ini dan gerakan mengesan mereka sudah dilancarkan," katanya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .