» » Pelajar sekolah berlagak 'kebal' dan angkuh di jalan raya menyusah dan membahayakan pengguna jalanraya lain


Gelagat remaja berpakaian seragam menunggang motosikal ke sekolah bukan perkara janggal kerana itu memang situasi yang berlaku di sekeliling kita. 

Motosikal kini dianggap antara pengangkutan utama pelajar berulang alik ke sekolah. 

Mana mungkin pelajar belasan tahun mahu menunggang basikal ke sekolah, kerana itu dianggap kenderaan budak sekolah rendah

Sikap masyarakat yang tidak ambil kisah itu membuatkan remaja terbabit bagaikan 'raja' di jalan raya, malah ada antara mereka dengan rasa tidak bersalah menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, memecut laju dan tidak mustahil kebanyakan mereka tiada lesen memandu

Lagak mereka seperti tidak sayangkan nyawa dan persoalannya ke manakah penjaga yang sepatutnya bertanggungjawab dalam soal keselamatan mereka. 

Walaupun hampir setiap hari kes remaja terbabit dalam kemalangan motosikal dilaporkan hingga membawa maut, tetapi itu seolah tidak memberi kesan kepada golongan ini

Ada kalangan pelajar yang sudah menunggang motosikal pada usia 10 tahun sama ada curi-curi atau dengan kebenaran ibu bapa

Alasan rumah dekat dengan sekolah

Seorang pelajar sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor Bahru, yang dikenali sebagai Khairi, 17, berkata oleh kerana sekolah terletak berhampiran taman perumahan, menyebabkan ramai pelajar menunggang motosikal ke sekolah

"Jarak perjalanan sekolah ke rumah saya hanya kira-kira tiga kilometer. Jadi saya rasa tidak perlu pakai topi keledar atau ada lesen. Waktu persekolahan bermula seawal jam 7 pagi dan ketika itu jalan tidak sesak. Saya hanya mengambil masa beberapa minit untuk sampai ke sekolah

"Selain itu saya hanya menunggang motosikal untuk ke lokasi yang dekat dengan rumah seperti ke sekolah, kafe siber atau kedai runcit berhampiran," katanya

Khairi turut mengakui kebanyakan pelajar di sekolahnya tidak memiliki lesen motosikal kerana perlu membayar kos yang agak mahal untuk mendapatkan lesen, selain penggunaan motosikal membolehkan mereka berjimat berbanding menaiki bas ke sekolah


Bayaran ambil lesen mahal

Bagi pelajar yang mahu dikenali sebagai Amirah, 17, bayaran untuk mendapat lesen yang membebankan, selain perlu memenuhi tempoh atau sukatan pelajaran ditetapkan dan ujian yang agak sukar, mendorong remaja sepertinya tidak mengambil lesen

Katanya, syarat membebankan bagi memiliki lesen memandu seakan sama dengan syarat lesen motosikal, antaranya memerlukan individu mengikuti ujian komputer, mengikuti kelas amali bagi mencukupkan tempoh 10 jam dan ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

"Pada peringkat awal, ia kelihatan mudah tetapi apabila kita mengikuti kelas memandu berkenaan, tempohnya akan menjadi panjang berikutan jadual sentiasa penuh, lesen lambat dikeluarkan, kenderaan digunakan di kelas memandu usang dan pegawai JPJ yang sukar memberi kelulusan, menyebabkan remaja terbabit berputus asa," katanya

Amirah berkata, beliau sendiri hanya mengikuti kelas memandu separuh jalan sebelum berhenti disebabkan komitmen dan masa yang terhad.


90 peratus tak ada lesen

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Rosland Yusof, mengakui hampir 90 peratus pelajar sekolahnya tidak memiliki lesen motosikal

Katanya, kira-kira 500 pelajar menunggang motosikal ke sekolah dan daripada jumlah itu dianggarkan hanya 100 pelajar memiliki lesen motosikal

"Pihak sekolah sedia maklum bahawa kebanyakan pelajar yang menunggang motosikal tinggal berhampiran

"Namun sekolah tidak berhak menyekat pelajar memasuki premis sekolah atau mengambil tindakan tegas kerana tidak memiliki lesen. Langkah sewajarnya menerusi kempen kesedaran keselamatan agensi berkaitan," katanya

Tindakan ibu bapa rosakkan anak sendiri

Kuala Terengganu: Tindakan ibu bapa membenarkan remaja yang masih bersekolah menunggang motosikal tanpa pengawasan bukan sahaja mengundang masalah keselamatan tetapi juga membawa kepada gejala ponteng kelas

Seorang pengusaha gerai yang menjalankan perniagaan berhampiran sebuah sekolah, di sini, Othman Hashim, 58, berkata dia amat risau dengan sikap segelintir pelajar yang menyalahgunakan kemudahan motosikal untuk ponteng kelas dan keluar dari sekolah sesuka hati

"Kadang-kadang jam 11 pagi mereka sudah keluar sekolah dan datang beramai-ramai dengan motosikal minum di gerai saya sedangkan pada waktu itu masih dalam sesi persekolahan

"Apabila ditanya bagaimana boleh keluar, mereka beritahu motosikal disimpan di rumah rakan atau kenalan yang tinggal dekat-dekat dengan sekolah

"Ibu bapa kena pantau anak mereka kerana kadang-kadang kemudahan yang diberi bukan untuk menyenangkan mereka, tetapi membuatkan mereka menjadi manja pada masa sama, ibu bapa merosakkan anak mereka sendiri," katanya


Tidak patuhi lampu isyarat

Tinjauan BH di tiga sekolah menengah sekitar bandar raya ini ketika waktu tamat persekolahan, mendapati ramai pelajar sekolah, sebahagian besarnya lelaki yang dianggarkan berusia antara 13 hingga 15 tahun, menunggang motosikal sendirian sedangkan mereka belum layak memiliki lesen motosikal

Sudahlah tiada lesen, sesetengah daripada mereka 'bermurah hati' membenarkan rakan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar, selain menunggang dengan aksi berbahaya tanpa mempedulikan keselamatan diri dan orang lain

Tidak terhenti di situ, aksi 'nakal' segelintir pelajar ini dapat dilihat apabila mereka tidak mematuhi lampu isyarat dan laluan khas yang disediakan untuk pejalan kaki

Perbuatan segelintir pelajar yang tidak bertanggungjawab ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa yang memandang serius perkara ini kerana ia dilihat dapat memberi pengaruh dan imej buruk kepada sekolah serta pelajar

Sementara itu, suri rumah, Sakinah Hanim Ghazali, 43, dari Kampung Durian Burung, berkata ibu bapa perlu disalahkan atas perbuatan anak mereka kerana mereka yang membeli dan memberi kebenaran walaupun sedar tindakan itu menyalahi undang-undang dan akan menyusahkan orang lain

Katanya, dia pernah terlanggar seorang pelajar sekolah yang menunggang motosikal secara berbahaya ketika pulang dari mengambil anak perempuannya di sekolah dan terkejut apabila diberitahu bahawa mangsa belajar di Tingkatan Satu.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .