» » Ribuan tandatangani petisyen desak Dewan Negara tolak rang undang-undang MKN


Satu petisyen menggesa Dewan Negara menolak Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 menerima lebih 21,500 penyokong sejak ia dilancarkan di laman web change.org pada 5 Disember.

Petisyen itu yang dikemukakan "Rakyat Malaysia", menggesa para senator menolak rang undang-undang itu kerana ia akan memberi "kesan negatif secara drastik kepada demokrasi dan keamanan negara kita".

Dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1 Disember, rang undang-undang itu diluluskan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada 3 Disember, selepas kira-kira 6 jam perbahasan.

Rang undang-undang itu membolehkan sebuah majlis yang diketuai perdana menteri mengisytiharkan suatu kawasan keselamatan dan arahan penangkapan, carian dan rampasan hartanah di kawasan itu tanpa waran.

Pengkritik berkata, ia memberi perdana menteri "kuasa seperti ketika darurat" ketika kuasa sebegitu hanya terletak pada Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kemas kini petisyen di laman web change.org 3 hari lalu, “Rakyat Malaysia” mengucapkan terima kasih kepada lebih daripada 21,000 penandatangan dan mengingatkan rakyat yang senat akan mula membincangkannya minggu ini.

Menggesa lebih ramai menurunkan tandatangan, kemas kini petisyen itu juga mencatatkan: "Kita tidak boleh kehilangan momentum dan kita mesti meneruskan usaha kami dalam berkongsi maklumat dan menyebarkan berita tentang betapa bahayanya MKN2015 ini."

Maklumat itu juga menyatakan ada usaha lain untuk melobi senator melalui surat bertulis dan menggesa rakyat bertindak.

"Kami ingin menonjolkan usaha pengguna bernama Laych K Koh, yang merangka e-mel rasmi, asalnya ditulis Amnesty International – yang boleh dihantar kepada senator secara peribadi melalui e-mel anda sendiri atau surat.

"Tidak ada peraturan mengatakan anda tidak boleh mengambil bahagian dalam lebih daripada satu petisyen, terutama jika ia untuk matlamat yang sama.

"Kami menggalakkan semua penandatangan, baharu dan lama menghantar e-mel dan surat ini kepada seberapa ramai senator yang mungkin," kata kemas kini itu.

Kumpulan hak dan masyarakat sivil, termasuk Amnesty International Malaysia, Lawyers for Liberty, Suara Rakyat Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia juga bersatu memulakan kempen #TakNakDiktator menentang rang undang-undang itu.

Di laman change.org, penyokong petisyen untuk senator Dewan Negara juga menulis pandangan mereka mengenai undang-undang itu.

Mah Li dari Kuala Lumpur berkata, "Saya menandatangani petisyen ini kerana saya menentang terlalu banyak kuasa budi bicara diberi kepada satu individu, PM, dan definisi tidak jelas mengenai apa yang menjadi ancaman kepada keselamatan negara".

Seorang lagi penyokong, Shahanna Mohd Shahruddin menulis: "Ia terbuka kepada penyalahgunaan oleh kuasa eksekutif bagi tujuan politik dan bukannya keselamatan".

Adzrul Syafiq Adzhar pula berkata: "Kuasa rakyat adalah lebih besar daripada orang yang berkuasa."

Aktivis pula berkata rang undang-undang itu "lebih kepada mengenai kuasa berbanding soal keselamatan".

Pensyarah undang-undang Universiti Selangor (Unisel) Dr Abdul Aziz Bari berkata, rang undang-undang itu menyingkirkan elemen semak dan imbang serta membolehkan perdana menteri mengenepikan Kabinet.

Tidak seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan apa-apa perisytiharan darurat diluluskan Yang di-Pertuan Agong, rang undang-undang MKN tidak memerlukan persetujuan baginda sebelum sesuatu kawasan diisytiharkan kawasan keselamatan.

Aziz juga menggariskan sekurang-kurangnya 3 sekatan yang boleh menghalang rang undang-undang itu daripada menjadi undang-undang.

Pertama ialah senat, diikuti kedua, Agong yang boleh menolak daripada memberikan persetujuan kepada rang undang-undang itu.

Ketiga, sekiranya Agong enggan menandatangani rang undang-undang itu, yang sekali gus mencetuskan krisis Perlembagaan, perkara itu boleh dibawa ke Mahkamah Persekutuan, katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .