Sungguhpun sudah berjabat tangan dengan Datuk Seri Najib Razak pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno ke-69 pada Sabtu lalu, Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menegaskan perbezaan pendapat beliau dengan presiden parti apabila memuat naik gambar mesej ucapan terima kasih daripada seorang penyokong di Facebook hari ini.
Timbalan perdana menteri yang digugurkan susulan kritikannya ke atas Najib meletakkan gambar sekeping kertas pengesat mulut dengan mesej tulisan tangan dalam Bahasa Inggeris, mengatakan beliau menerimanya daripada seorang wanita di sebuah kafe pagi ini.
"Dear YB Tan Sri Muhyiddin, Thank you very much for standing up for all of us when no one dare (sic) to do it (Terima kasih banyak kerana bersuara untuk kami semua apabila tiada siapa yang berani melakukannya.
"We are all for you and we are praying that your struggle is not in vain (Kami semua menyokong anda dan kami berdoa perjuangan anda tidak sia-sia)," menurut nota di kertas itu.
Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada wanita itu dalam postingnya.
Najib bersalaman dengan Muhyiddin pada akhir perhimpunan parti itu 2 hari lepas sambil menyeru ke arah perdamaian susulan kritikan terbuka oleh timbalannya itu beberapa bulan kebelakangan ini berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi perdana menteri.
Tetapi tidak lama selepas itu, Muhyiddin memberitahu pemberita beliau masih mahu Najib menjelaskan isu yang dibangkitkannya.
Tindakan beliau yang menyoal Najib secara terbuka itu membuatkan Najib melucutkan beliau daripada Kabinet dalam rombakan hujung Julai lalu.
Muhyiddin juga enggan menjawab pemberita yang berulang kali bertanya jika beliau bermaksud berdamai dengan Najib apabila menyambut huluran tangan presiden Umno itu.
Beliau juga sebelum ini pernah berkata beliau tidak menyesal mengkritik Najib dan tidak melihat timbul keperluan meminta maaf kepada sesiapa sahaja.
sumber





No comments: