Peningkatan kos sara hidup masih menjadi topik perbahasan perwakilan Umno pada hari ke-2 Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Perwakilan yang berbahas menyuarakan rintihan pelbagai lapisan masyarakat serta meminta kerajaan mengambil langkah tertentu bagi menangani bebanan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa kini.
Wakil Umno Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin menyarankan agar skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dapat diberi secara bulanan kepada mereka yang layak supaya ia "berbaloi" dalam meringankan beban kewangan rakyat.
Katanya mekanisme pemberian BR1M itu wajar dikaji semula bagi memastikan mereka yang benar-benar layak menerimanya, tidak tercicir.
Beliau berkata pemilihan bantuan itu menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) sekarang menyebabkan ada golongan yang layak tidak menerima bantuan itu manakala mereka yang tidak layak pula menikmati keistimewaan tersebut.
Shahaniza, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, memohon kerajaan untuk segera menyelesaikan permasalahan orang muda seperti ketidakmampuan membeli rumah dan masalah mendapatkan pinjaman kewangan membeli kediaman yang sangat ketat.
Sementara itu, wakil Mahasiswa Nasional Farhan Khairuddin meminta kerajaan memasukkan nilai RM250 Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) ke dalam kad diskaun pelajar bagi memudahkan golongan itu termasuk mahasiswa menggunakannya untuk perkara lain seperti membeli buku yang tiada potongan harga.
"Kerajaan bagi baucar RM250 pada hujung semester, pelajar tidak boleh guna (lagi). Terdapat juga sindiket yang menggunakan baucar ini dengan membayar tunai kepada pelajar (beli baucar dari pelajar)," katanya.
Farhan dalam masa sama turut mencadangkan agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi potongan (diskaun) sebanyak 40% kepada mahasiswa yang mendapat kelas ke-2 yang menuntut dalam bidang pengajian kritikal seperti undang-undang, perubatan dan kejuruteraan.
Katanya, golongan kelas ke-2 wajar mendapat potongan bagi pinjaman mereka atas kapasiti bidang yang diambil lebih sukar berbanding bidang pengajian lain.
"Dengan adanya potongan 40%, ia dapat memberi peluang dan membantu anak bangsa kita yang belajar dalam bidang kritikal," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kenaikan kos sara hidup, Farhan berkata monopoli pihak tertentu dalam sesebuah perniagaan perlu dihapuskan bagi mengembalikan "purchasing power" dalam kalangan rakyat selain membantu setiap perniagaan untuk bersaing secara sihat antara satu sama lain.
sumber




No comments: