SEBUAH drama baru berjudul Tuan Anas Mikael menggandingkan pelakon Aaron Aziz dan Zara Zya yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pukul 10.00 malam di saluran Astro Ria (104) bermula 9 November lalu.
Drama adaptasi novel tulisan Syamnuriezmil ini merupakan terbitan Pena Creative dan mendapat sentuhan Raja Ahmad Alauddin.
Bercerita tentang drama ini, Zara Zya yang membawakan watak Ayu Maisarah, cukup teruja kerana ini pertama kali terlibat dengan produksi Pena Creative dan beliau dipilih kerana watak Ayu Maisarah cukup sesuai dengan dirinya.
“Saya tertarik dengan novel ini dan penulisnya sendiri memberitahu saya adalah pelakon yang sesuai untuk membawakan watak Ayu Maisarah. Jadi mahu tahu sesuai atau tidak saya cuba terima tawaran ini.
“Watak tersebut adalah seorang wanita yang ‘gila-gila’ dan ia sebenarnya melebihi dari perwatakan sebenar saya. Sehinggakan kadangkala saya malu untuk melakonkan babak-babak tertentu.
“Seronok berlakon dalam drama ini sehinggakan tidak terasa penat. Malah pelakon-pelakon lain juga cukup hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Normah Damanhuri dan Datuk Chef Wan.
“Berlakon dengan Aaron juga cukup mudah. Selesa bekerja dengannya. Masing-masing sudah tahu kerja sendiri dan kami gembira kerja bersama,” cerita Zara.
Ayu Maisarah (lakonan Zara Zya) merupakan graduan yang tidak bekerja. Dia diminta menggantikan ibunya menjadi pembantu rumah Tuan Anas Mikael (Aaron Aziz) buat seketika.
Gara-gara terlupa pesan ibunya, satu insiden telah berlaku yang menyebabkan Ayu terpaska terus bekerja dengan Tuan Anas demi membayar hutang.
Tuan Anas punya niat untuk memperisterikan Ayu Maisarah kerana mahu mengelak dijodohkan dengan Safra Ariana (Raja Ilya) yang merupakan cucu angkat kepada Tun Amina dan Tun Akhiruddin.
“Kalau awak jaga saya elok-elok, saya akan jaga awak elok-elok juga.” Itu ungkapan yang selalu diluahkan oleh Tuan Anas kepada Ayu Maisarah. Dia juga meluahkan perasaannya kepada wanita itu ketika berada di Krabi, Thailand.
Di sebalik kehidupan normal Ayu Maisarah, ada tersimpan satu rahsia besar. Dia merupakan cucu kepada pasangan Tun Amina dan Tun Akhiruddin yang memiliki kekayaan sangat besar.
Apabila Ayu Maisarah mengetahui tentang datuk dan neneknya, secara tidak langsung telah membuka cerita misteri pembunuhan bapanya. Perkara ini juga menyebabkan Tuan Anas bersikap dingin terhadap Ayu Maisarah.
sumber




No comments: