PENYANYI dan pelakon Farahdhiya Mohd Amin, 31, menganggap penyertaan dalam program pertandingan Gegar Vaganza musim kedua (GV) merupakan platform terbaik untuk menggilap semula populariti sebagai penyanyi.
“Saya pasti menyesal kalau tak terima tawaran GV. Selepas selesai konsert minggu pertama (18 Oktober), saya teruja dan rasai keseronokan dengan sambutan hangat penonton.
“Dari situ saya rasakan banyak kebaikan menyertai GV. Selesai sahaja konsert pertama saya dapat tawaran menyanyi yang sangat luar biasa. Tetapi saya tak dapat nak terima sebab kebanyakan show pada hujung minggu sedangkan saya sibuk bertanding GV.
“Bagusnya GV ini menggilap semula nama saya dan ia adalah platform bagus untuk buktikan saya adalah penyanyi dan boleh menyanyi dengan baik,” jelas anak bongsu daripada dua beradik ini yang lahir di Sarzana, Itali pada 28 April 1984.
Farahdhiya memulakan kerjaya nyanyian sejak usia belasan tahun lagi di bawah naungan KRU Records. Album pertamaBertakhta Di Hati pada 2004 dengan lagu hits judul sama. Kemudian, album kedua berjudul Yang Ku Puja (2006) dan lagu hits ketika itu, Di Sini Bersemi.
“Lagu Bertakhta Di Hati lebih dahulu popular berbanding saya yang menyanyikannya. Sebelas tahun di dalam industri muzik, saya dah lalui pelbagai pengalaman.
“Kalau dah pernah ada single lagu dan walau lagu itu sedap dan penyanyinya bagus, tetapi jika tanpa sokongan peminat serta bantuan pihak media, takkan ke mana jua.
“Saya kecewa lagu tidak diputar radio dan saya tak menyalahkan sesiapa. Selepas ini, ada perancangan dengan syarikat rakaman untuk mengeluarkan single terbaru.
“Sebab itulah, sambutan bagus dalam GV ini saya jadikan platform terbaik bagi meneruskan kelangsungan kerjaya nyanyian,” ujarnya kepada Mangga Online. Untuk konsert ketiga GV Ahad ini beliau akan menyampaikan lagu asal nyanyian Wann, Joget Siapa Dia.
Drama pertama lakonannya adalah Mencari Arah Kiblat yang disiarkan sempena Awal Muharam pada 2007. Manakala drama yang memperkenalkan namanya ialah Spa Q sebanyak 60 episod di slot Akasia TV3 daripada tahun 2007 hingga 2008. Drama popular lain lakonannya, Perempuan Lindungan Kaabah.
No comments: