Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan 9 Disember untuk sebutan semula kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan 5 pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk sepasang suami isteri.
Dalam prosiding sebutan semula kes itu di 2 Mahkamah Sesyen hari ini, Hakim Rushan Lutfi Mohamed dan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan tarikh berkenaan selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Nizam Wan Omar untuk perbicaraan serentak di Mahkamah Khas Rasuah Ipoh.
Lima pegawai kanan TLDM termasuk pasangan suami isteri itu didakwa atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai lebih RM500,000 berkaitan urusan pembekalan barangan ke TLDM antara 2014 dan 2015.
Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 33, dan suaminya Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36, menghadapi 6 pertuduhan menerima suapan membabitkan RM420,852.85 manakala Leftenan S Kuvendran, 32, menghadapi 4 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM104,971.97.
Dua lagi pegawai iaitu Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, menghadapi 7 pertuduhan menerima suapan barangan berharga bernilai RM1,052,120.60 manakala Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir, 37, menghadapi 5 pertuduhan menerima wang suapan melibatkan nilai RM1,500,000.
Pasangan suami isteri itu juga menghadapai 6 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang RM604,207, Khairul menghadapi 5 pertuduhan melibatkan RM1,425,500 manakala Kuvendran menghadapi 5 pertuduhan membabitkan RM142,115.77. Aziz didakwa atas 5 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan urusan pembekalan barangan ke TLDM berjumlah RM840,000 sejak tahun lepas.
Semua tertuduh diwakili barisan peguam diketuai Norhasham Hasan.
sumber




No comments: