» » Tak menyesal sokong Najib Razak dahulu jadi PM Malaysia


Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah menyesal mengangkat Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika proses peralihan kuasa itu berlaku selepas pilihan raya umum 2008.

Bekas timbalan perdana itu turut berkata, beliau merupakan individu pertama yang tampil ke hadapan menyokong pembaharuan Umno walaupun terpaksa menurunkan Abdullah sebagai perdana menteri.

"Kalau ada pembaharuan (dalam Umno), Muhyiddin mesti ada di hadapan. Pak Lah adalah orang yang saya sayangi," katanya, merujuk kepada panggilan mesra Abdullah.

Katanya, beliau turut mendesak Najib menerima jawatan itu kerana katanya, Najib yang ketika itu bekas timbalan presiden Umno kelihatan teragak-agak dalam membuat keputusan.

"Saya jumpa Najib waktu itu, beliau timbalan perdana menteri. Beliau kata, lepas pilihan raya umum, susah. Saya beritahunya, sudah sampai waktu beliau ambil alih pimpinan negara.

"Beliau layak, berpengalaman, segak. Kalau duduk di peringkat antarabangsa, sama dengan 'Mat-Mat Saleh'.

"Tetapi, Najib ini berfikir terlalu panjang, sehingga kadang-kadang kita kena desak," katanya pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian bertajuk 'Berani Kerana Benar' di Johor Baru hari ini.

Disebabkan sikap Najib itu, ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malah menyuruh beliau bertanding bagi jawatan presiden Umno.

"Dr Mahathir suruh saya bertanding. Saya kata 'no sir!', beliau timbalan presiden, saya naib presiden sahaja," katanya menceritakan respons beliau kepada Dr Mahathir ketika itu.

"Bila beliau tidak buat keputusan, waktu itu bulan puasa, bekas menteri besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman ada buat program buka puasa.

"Saya tumpang Najib. Saya kata, saya dah jumpa Tun (Dr Mahathir), Tun tanya bila nak bertanding. Kalau tidak, dia suruh saya bertanding," kata Muhyiddin.

"Saya menyesal? Tidak. Saya ulang pada 28 Julai, itu sejarah saya bantu awak," katanya, menceritakan detik ketika Najib menggugurkannya sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet pada Julai itu.

Malah, Muhyiddin turut menegaskan, tidak pernah sekali pun beliau bertindak berkomplot untuk menjatuhkan Najib sejak dilantik menjadi perdana menteri.

"Tidak ada sejarah sejak saya menjawat jawatan timbalan presiden Umno saya berkomplot nak menjatuhkan beliau. Menyesal? Tak menyesal," ulang beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kesetiaannya kepada pemimpin dan parti Melayu itu tidak dipertikaikan.

"Maksud saya jangan dipersoalkan kesetiaan. Waktu itu saya tidak lihat kelemahan dan kesalahan beliau.

"Saya sebagai orang nombor 2 harus membantu, sehinggalah sampai pada peristiwa 1MDB yang timbul," katanya, merujuk kepada skandal yang membelenggu syarikat 1Malaysia Development Berhad.




About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .