Datuk Seri Shafie Apdal hari ini menyifatkan Bajet 2016 gagal memberi tumpuan kepada aspek fundamental tentang krisis kepercayaan dan keyakinan pelabur yang dihadapi kerajaan selama ini, yang menyumbang kepada kejatuhan nilai ringgit dan kelembapan ekonomi negara.
Naib presiden Umno yang disingkir dari Kabinet pada Julai itu berkata, Putrajaya perlu mengambil langkah berani membuat perubahan struktur bagi meletak ekonomi kembali ke kedudukan yang kukuh.
Mengulas belanjawan tahunan kerajaan yang dicadangkan perdana menteri di Dewan Rakyat semalam, Shafie berkata, kerajaan gagal memberi jawapan mengenai pendekatan sebaiknya yang perlu diambil Putrajaya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
"Salah satu pendekatan yang agak hilang, di mana belanjawan ini tidak ada, (ialah) melihat dengan terperinci apa sebenar langkah-langkah yang diambil dalam kita berdepan dengan krisis ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.
"Cuma ada disediakan, kemudahan, prasarana dan keperluan yang diselaraskan dengan apa yang rakyat mahu dan apa yang negeri mahukan," katanya kepada pemberita semasa melawat Sekolah Kebangsaan Bangau-Bangau di Semporna hari ini.
"Tetapi dalam konteks untuk kita perkukuhkan ekonomi dalaman kita, semasa keadaan ekonomi semakin tidak menentu, bagaimana kita uruskan? Seperti kejatuhan mata wang, bagaimana untuk ditangani dan kita kukuhkan?
"Sebagai contoh, perubahan struktur Bursa Kuala Lumpur, adakah ada pendekatan? Perkara seperti ini perlu dilihat pada masa akan datang," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib semalam membentangkan Bajet 2016 bertemakan Mensejahtera Kehidupan Rakyat pada ketika berdepan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadinya.
Shafie juga antara pengkritik Najib dalam isu 1MDB sehingga menyaksikan dirinya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada Kabinet.
Pengkritik mendakwa, pembentangan bajet semalam tidak memfokuskan kepada isu sebenar dihadapi pentadbiran Najib yang kini hilang keyakinan dan kepercayaan rakyat.
Malah, pembangkang juga mengkritik Putrajaya kerana gagal menjawab skandal dihadapinya dalam bajet semalam.
Bajet semalam dianggap penting memandangkan Malaysia hanya mempunyai beberapa tahun sahaja lagi untuk menuju ke arah negara maju pada 2020.
No comments: