Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menyelaraskan gaji minimum sektor swasta dan kakitangan kerajaan yang kini ditetapkan pada RM1,200 sebulan selepas pembentangan Bajet 2016.
Presiden MTUC Khalid Atan dilaporkan Berita Harian berkata, penyelarasan itu perlu kerana kenaikan kos sara hidup dihadapi semua lapisan masyarakat.
"Kalau kakitangan kerajaan terima gaji permulaan RM1,200, sepatutnya begitu juga bagi pekerja swasta," beliau dipetik berkata.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia merayu kerajaan menyemak gaji minimum itu yang dirasakan membebankan peniaga dalam menggaji pekerja mereka.
Katanya, peniaga belum pun lagi dapat menyesuaikan diri dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyaksikan sebahagian perniagaan menggulung tikar sebelum ini.
"Dengan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu, menyebabkan banyak perniagaan merosot daripada segi pendapatan.
"Maka bagaimana mereka mahu menanggung beban kenaikan gaji minimum itu?," soal timbalan presiden gabungan itu Datuk Mohd Mahmud.
Di bawah cadangan Bajet 2016 dibentangkan perdana menteri pada Jumaat, gaji minimum pekerja swasta di Semenanjung dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan.
Sementara bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, ia dinaikkan kepada RM920 daripada RM800 sebulan.
sumber
No comments: