Pelakon baru Zahirah MacWilson, 20, sebelum ini pernah menafikan gosip cinta dengan Zul Ariffin, 29. Bagaimanapun ada pula mulut yang memberitahu Mangga Online khabarnya mereka sedang menyulam cinta secara senyap-senyap.
Ini kerana Zul yang sebelum ini dikaitkan dengan Ayda Jebat walau sudah mempunyai kekasih mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan perihal peribadi lagi.
Kisah dua pelakon ini mula mencari bahan cerita apabila ada peminat yang merakamkan gambar mereka semasa terserempak di sebuah pasar raya. Zahirah mengatakan pertemuan tersebut adalah tidak sengaja.
“Saya dan Zul hanya berkawan rapat sahaja. Sekarang memang saya tidak punya kekasih. Mulut orang memang susah nak tutup. Saya tak ambil pusing perkara itu. Kalau betul kata mereka, tunjukkanlah buktinya.
“Saya tidak mahu kongsi kisah peribadi, apatahlagi soal cinta dan keluarga. Meskipun orang tahu kisah keluarga saya, namun itu tidak bermakna saya boleh ceritakan segala-galanya,” ujar Zahirah kepada Mangga Online.
Ketika dihubungi, anak sulung kepada pelakon yang juga bekas penyampai berita TV3 Zainol Macwilson ini sedang berada di lokasi penggambaran drama Cik Cinderella Encik Tengku. Ini kali kedua Zahirah diberi kepercayaan sebagai teraju utama selepas drama Mencintaimu, bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad.
“Mestilah berdebar menunggu respon penonton. Saya masih baru dalam dunia lakonan. Apabila diberi watak utama saya takut untuk menunggu apa reaksi penonton.
“Syukur kehadiran saya diterima baik menerusi drama sebelum ini. Biar sudah habis ditayangkan orang masih bercakap tentangnya.
“Harapan yang tinggi daripada penonton dalam drama seterusnya memberi saya cabaran untuk melakukan lebih baik. Saya tidak mahu menghampakan penonton, maka perlu yakin melakukan setiap kerja,” kata Zahirah.
No comments: