» » 'Tak salah dalam Islam gulingkan pemimpin yang zalim dan kejam'


Rakyat boleh menggulingkan atau menjatuhkan kerajaan yang memerintah menerusi sistem demokrasi pilihan raya ataupun undi di Parlimen, kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berbeza pendapat dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mengatakan tindakan menggulingkan kerajaan adalah haram di sisi Islam.

Menulis di laman Facebook beliau, Asri berkata, agama menuntut umatnya bertegas dalam membenci dan membantah kemungkaran dan kezaliman pemerintah, tetapi Nabi Muhammad melarang rakyat memerangi pemerintah Islam menggunakan senjata selagi mereka menunaikan solat.

"Kaedah membantah atau menukar pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai. Para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas alasan bimbangkan penumpahan darah.

"Namun, dalam dunia hari ini sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar, atau ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem demokrasi pilihan raya ataupun undi di Parlimen dan seumpamanya," katanya.

Di bawah tajuk 'Antara mengkritik, membantah, menukar dan memerangi pemerintah', Asri menulis, solat menjadi petunjuk yang seseorang pemerintah masih berpegang dengan ajaran Islam dalam kehidupan.

Katanya, ada pihak mengelirukan masyarakat dengan istilah seperti "mengkritik, membantah, menukar atau memerangi" pemerintah, mungkin kerana mereka sendiri terkeliru atau kerana berlebihan dalam menyokong pihak tertentu.

"Ada yang cuba menyamakan antara mengkritik dengan mencerca pemerintah. Ada yang cuba menyamakan antara membantah dengan memberontak. Ada pula yang menyamakan antara menukar pemimpin dengan memerangi kerajaan secara bersenjata," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membuat pendedahan, terdapat usaha individu tertentu ingin menggulingkan kerajaan.

Mengulas perkata itu, Harussani dilaporkan berkata, tindakan tersebut haram kerana kerajaan atau pemerintah sudah dipilihi rakyat melalui cara yang sah.

"Walaupun pemerintah yang dipilih itu zalim sekalipun, tindakan menggulingkannya tetap haram dan umat Islam tidak boleh berbuat demikian," beliau dipetik berkata Harian Metro Online pada Khamis.

Asri berkata, tindakan tidak bersetuju dengan pemimpin tidak semestinya bermaksud satu penderhakaan kepada kerajaan secara keseluruhannya.

"Kita hendaklah membezakan konteks dan latar politik apabila hendak memberi fatwa berkaitan politik," katanya.

Beliau berkata, perhitungan tindakan dalam Islam adalah dari sudut kadar manfaat dan mudarat.

"Menumpaskan pemerintah zalim dengan senjata biasanya mengundang mudarat yang jauh lebih bahaya dibandingkan manfaat yang hendak dicapai.

"Kebencian atau bantahan terhadap kemungkaran pemerintah tidak membolehkan rakyat menderhakai mereka dalam perkara yang baik atau makruf," katanya sambil menambah, setiap pemerintah mungkin ada melakukan kesilapan atau dosa.

Jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara, kata Asri.

"Maka, kita menentang kemungkaran pemerintah, tetapi tidak akan memeranginya dengan senjata. Tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan, keamanan dan hak rakyat.

"Peperangan saudara dalam negara hanya akan menghancurkan perkara-perkara tersebut," kata Asri yang berpendapat, pengkaji politik Islam tidak boleh menjadi terlalu literalist kerana politik bukan ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah tambah.

"Politik soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum Islam," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .