Dengan Bersih 4 tinggal seminggu sahaja lagi, timbul kebimbangan yang tindakan keras yang diambil terhadap mereka yang berbeza pendapat dan keadaan pembangkang politik yang berpecah-belah akan melihat jumlah penyertaan yang kecil pada perhimpunan itu nanti.
Parti pembangkang DAP, PKR dan kumpulan serpihan PAS, Gerakan Harapan Baru (GHB), yang menyokong Bersih 4, menyeru seberapa ramai ahli mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching dari 29 hingga 30 Ogos itu.
Tuntutan perhimpunan anjuran kumpulan masyarakat awam terkenal itu kali ini ialah kerajaan yang bersih, pembaharuan pilihan raya, hak untuk memprotes dan langkah menyelamatkan ekonomi.
Perhimpunan ini juga dianggap pihak penganjur, Bersih 2.0, sebagai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan, dan dakwaan salahlakunya itu cuba dilindungi, menyebabkan ketidakstabilan politik dan mengurangkan keyakinan pelabur.
Penyertaan dalam perhimpunan Bersih pada masa lalu bergantung kepada usaha parti pembangkang menarik bilangan yang tinggi, tetapi pemimpin parti kini mengakui, merupakan satu cabaran untuk mendapatkan orang ramai yang bukan anggota parti turut serta kali ini berbanding Bersih 2 dan 3, kerana pendirian Putrajaya yang tidak bertolak-ansur terhadap perbezaan pendapat awam.
Penyelidik bebas Ibrahim Suffian juga berkata, masalah ekonomi di negara ini mungkin tidak cukup genting untuk mempengaruhi orang ramai keluar ke jalan pada hujung minggu Merdeka nanti.
Tidak seperti Bersih 3
Ibrahim berpendapat perhimpunan Bersih pada masa lalu, terutama yang ke-3 pada 2012, berjaya menarik penyertaan yang tinggi dengan adanya usaha mobilisasi yang meluas oleh ahli dan penyokong pembangkang.
Ini menjelaskan mengapa perhimpunan pada tahun itu begitu besar, dengan anggaran sehingga 300,000 orang membanjiri Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya, walaupun ekonomi negara ketika itu lebih baik daripada sekarang.
"Penyertaan yang tinggi biasanya berkebetulan dengan keadaan ekonomi yang bermasalah. Sekarang, walaupun terdapat kebimbangan mengenai ekonomi, kadar pengangguran masih rendah dan orang ramai masih boleh meneruskan kehidupan," kata pengarah eksekutif Merdeka Centre itu.
Jumlah penyertaan yang besar ketika Bersih 3 juga adalah kerana ia turut merupakan satu solidariti Pakatan Rakyat (PR), pakatan pembangkang yang kukuh bersatu ketika itu, berarak ke Putrajaya menyokong perdana menteri pilihan mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pilihan raya umum diadakan pada tahun berikutnya, Mei 2013.
Sebahagian besar orang Melayu yang hadir ketika itu merupakan anggota PAS, bekas parti terbesar dalam PR dan parti politik kedua terbesar di negara ini, dengan hampir satu juta ahli di seluruh negara.
PAS kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada PR, berikutan perbalahan dengan parti sekutunya, dan pemimpinnya mengeluarkan kenyataan bercanggah sama ada ahlinya perlu menyertai Bersih 4 atau tidak, kata seorang pimpinan Pemuda parti itu, dan ini mungkin menyebabkan tidak ramai ahlinya akan menghadiri perhimpunan kali ini.
"Isyarat dari presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak jelas. Dia tidak melarang ahli menyertainya tetapi dia mengatakan PAS tidak akan menyokongnya," katanya yang tidak mahu dikenali.
Pada kesudahannya, ahli mungkin akan mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak menghadiri Bersih 4 supaya tidak membangkitkan kemarahan presiden, katanya.
Walaupun pemimpin GHB komited menghimpunkan penyokong mereka – yang pada dasarnya masih ahli PAS – usaha mereka ini terbatas kerana pimpinan PAS melarang ahli mereka dari menyertai program kumpulan itu.
"GHB juga tidak boleh dengan mudah mengarahkan penyokong mereka pergi kerana mereka hanya gerakan, bukan parti berdaftar atau pertubuhan," kata ahli PAS tersebut, sambil menambah GHB giat mempromosikan Bersih 4 di semua pameran bergeraknya di seluruh negara.
Kemarahan mengatasi rasa takut
Bagi PKR, ahlinya bukan sahaja diarahkan untuk pergi, mereka juga aktif mengedarkan risalah di pasar bagi mendapatkan seramai mungkin orang untuk hadir.
"Kami juga menaikkan kain rentang di mana boleh dan meyakinkan orang ramai ia merupakan perhimpunan yang aman. Kami melakukan apa sahaja yang boleh untuk menyokong Bersih," kata naib presiden PKR Chua Tian Chang, lebih dikenali sebagai Tian Chua.
Cabaran besar yang harus diatasi katanya, ialah tuduhan yang perhimpunan itu satu rancangan untuk menggulingkan kerajaan, kerana orang ramai mungkin akan risau mereka akan ditangkap sekiranya mereka pergi.
Ini berlaku pada beberapa demonstrasi yang berlaku awal tahun ini dan tahun lepas seperti bantahan menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan perhimpunan #KitaLawan di mana pemimpin masyarakat awam dan penceramah ditahan pihak polis.
Walaupun terdapat ura-ura ancaman terhadap perhimpunan Bersih 4 akan berlaku, Tian Chua berkata beliau "dengan rendah hati" yakin kehadiran akan memberangsangkan, walaupun beliau enggan menyatakan jumlahnya.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, bagaimanapun berkata beliau yakin seperti dalam kedua-dua perhimpunan yang lalu pada 2011 dan 2012, orang ramai akan mengabaikan ancaman polis dan tetap datang.
"Anda akan terkejut betapa marahnya rakyat Malaysia kerana tiada apa-apa yang dilakukan untuk membawa kita keluar dari krisis ini," katanya, merujuk kepada kepimpinan Najib, di mana skandal beliau didakwa meletakkan negara ini dalam permasalahan politik dan ekonomi.
Malahan, tindakan keras pihak berkuasa kebelakangan ini, dan tindak balas rakyat terhadapnya, memberikan harapan kepada Tian Chua yang orang ramai akan pergi ke Bersih 4.
"Pada masa lalu, anda lihat pemimpin ditangkap sebelum perhimpunan. Tetapi perhimpunan tetap dijalankan.
"Tangkapan tidak lagi akan menghentikan demonstrasi. Rakyat Malaysia tidak lagi gentar. Jika tangkapan berlaku sebelum perhimpunan, menjadi satu tanggungjawab moral yang lebih besar untuk menghadirinya," katanya.
sumber
No comments: