Dengan penarikan kembali keputusan untuk menukar 2 pengarah kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), agensi itu berkata akan meneruskan kembali siasatan terhadap syarikat berkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, 2 pegawai kanan agensi itu juga akan kekal dengan portfolio sama.
"Kerja- kerja dan soal penyiasatan diteruskan seperti biasa.
"Pengarah itu masih kat situ dan tindakan- tindakan perlaksanaan SPRM yg bebas telus dan profesional akan bergerak seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita di luar bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.
Terdahulu kira-kira jam 1.30 petang Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dilihat meninggalkan bangunan SPRM.
Bagaimanapun beliau enggan memberi komen mengenai keputusan tidak menukarkan beliau ke JPM oleh Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA).
Beliau hanya berkata: "Tanya bos .. bos dah balik," kepada pemberita sebelum memasuki keretanya.
Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob juga enggan memberi sebarang komen kepada pemberita.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dalam satu kenyataan awal pagi tadi menjelaskan, keputusan penarikan kembali diputuskan selepas satu perjumpaan dengan kedua-dua pegawai itu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal.
Pemindahan Bahri dan Rohaizad diumumkan pada Jumaat, berikutan beberapa siri tangkapan polis dan soal siasat terhadap 7 pegawai SPRM berhubung dakwaan kebocoran maklumat rasmi mengenai syarikat pelabur negara sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Polis berkata, pihaknya sedang menyiasat siapa yang membocorkan maklumat itu kepada laman web Sarawak Report dan membocorkan mengenai dokumen yang dikatakan draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang diterbitkan laman itu.
sumber




No comments: