Pembatalan arahan pemindahan 2 pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memadai, sebaliknya siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu lebih bebas dan diteruskan, kata Nurul Izzah Anwar hari ini.
Naib presiden PKR itu mendakwa, pembatalan tersebut dilakukan hanya kerana wujudnya tekanan daripada masyarakat dan pimpinan susulan arahan memindahkan mereka ke Jabatan Perdana Menteri dikeluarkan Jumaat lalu.
"Sekarang kita masih mahu siasatan diteruskan. Kita mahu SPRM diberikan kekuatan dan sepenuh profesionalism dan kebebasan siasatan untuk meneruskan siasatan," katanya ketika menyambut hari lahir bapanya di luar penjara Sungai Buloh hari ini.
Beliau juga mempertikaikan sama ada draf kertas pertuduhan rasuah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak benar-benar wujud dan sah atau sebaliknya.
Katanya, persoalan itu wajib dijawab oleh bukan saja Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin, malah peguam negara yang baru, Tan Sri Apandi Ali.
"Soalannya masih belum terjawab.
"Jadi saya fikir bila cakap tentang kes melibatkan perdana menteri sendiri, kita mahu kenyataan yang berterusan, konsisten dan terkini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertukaran 2 pegawai tertinggi SPRM yang dibatalkan perpindahan ke Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Semalam, pemimpin Parlimen DAP Lim Kit Siang turut mempersoalkan perkara yang sama mengenai draf pertuduhan itu dan menuntut agar peguam negara dan polis menjelaskan jawapan mereka.
Lim berkata, Apandi menyatakan draf kertas pertuduhan itu palsu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun kemudian berkata beberapa pegawai agensi anti rasuah disiasat untuk mengetahui bagaimana salinan draf itu boleh bocor dan dimuat naik di laman web yang berpangkalan di United Kingdom.
Lim berkata perkara itu akan berakhir jika peguam negara benar dalam mengatakan draf itu palsu.
sumber




No comments: