Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan tegas terhadap pejuang siber (cybertrooper) yang membuat dan menyebarkan imej serta mesej palsu di media sosial, kata Naib Presiden DAP Teresa Kok.
Kok berkata, sejak 15 Ogos lalu beliau membuat 3 laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan 3 aduan kepada SKMM berkenaan pemalsuan mesej di media sosial atas namanya.
Laporan pertama dibuat Kok pada 15 Ogos lalu berkenaan mesej Twitter palsu berbunyi:"Rapist, robbers, kidnappers, housebreaking is usually done by one of the races in Malaysia - apparently done by Malay".
Laporan polis kedua dibuat pada 20 Ogos lalu mengenai mesej Twitter palsu yang berbunyi: "Sokong YB Azmin naik tariff air Selangor. Amat wajar, untuk elakkan pembaziran air, terutamanya pada hari Jumaat".
Manakala laporan ketiga dibuat pada 23 Ogos lalu tentang kenyataan dan gambar di Facebook Pilihan Raya Kini:"Orang Melayu bangsa yang suka merogol, merompak, menculik dan pecah rumah".
Laporan sama dibuat terhadap akaun Facebook Ali Ja'afar yang memaparkan gambar dan kenyataan berbunyi: Teresa "Cock" mahu duit zakat negeri Selangor diserahkan kepada cina kerana orang cina jugak bayar cukai", "Kenapa duit zakat khas untuk melayu di Malaysia? Cina juga bayar tax. Inilah punca rasis sebenarnya", "Teresa "Cock" adalah hasil pilihan orang melayu di seputeh dan kinrara", serta "Si cina DAP ni tak tahu ke duit zakat dan duit tax itu berbeza? Pak Lebai dan mak lebai PAS tak ajar ke?".
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, semua mesej palsu sama ada menggunakan gambar Twitter palsu atau kenyataan dalam Facebook juga tersebar luas melalui laman sosial Whatsapp.
"Kenyataan palsu berkenaan saya minta duit zakat di Selangor diberi kepada orang Cina ini memang cerita lama. Kenyataan palsu ini pernah disiarkan secara meluas di laman web bahasa Malaysia pada Ogos 2013 dan saya pernah buat laporan polis dan laporan SKMM sebelum itu.
"Sekarang kenyataan palsu ini muncul semula kerana SKMM tidak ambil tindakan terhadap penulis kenyataan palsu ini walaupun saya sudah buat desakan di Dewan Rakyat beberapa kali," katanya pada sidang media di lobi Dewan Annexe di Shah Alam, hari ini.
Beliau mempersoalkan sikap berat sebelah SKMM dan Putrajaya apabila bertindak tegas mendakwa pihak yang memfitnah sultan, serta pasangan blogger Alvivi yang memuat naik gambar makan "bakuteh" pada bulan Ramadan.
Namun pada masa sama tidak mengambil tindakan terhadap "cybertrooper" yang membuat kenyataan palsu berbaur perkauman dan fitnah agama terhadap pemimpin politik parti pembangkang.
"Saya menggesa supaya SKMM mengambil pendirian yang neutral daripada segi politik dengan mengambil tindakan terhadap semua aduan daripada semua pihak, termasuk aduan bersiri yang saya buat," katanya.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh berkata, wujud aplikasi Internet "lemmetweetthatforyou.com" yang membolehkan mana-mana akaun Twitter digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Sementara Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang sengaja melaga-lagakan masyarakat berkaitan isu perkauman.
Timbalan Ketua Wanita Gerakan Harapan Baru (GHB) Aiman Athirah AlJundi pula berkata, Kok sering menjadi sasaran "cybertrooper" kerana ia refleksi sikap kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang memainkan sentimen perkauman dan agama termasuk menteri.
"Ini budaya yang sengaja dimainkan Umno-BN yang selalu memberi gambaran DAP benci Islam dan Melayu," katanya.
sumber
No comments: