Kira-kira 30 mahasiswa hari ini meneruskan protes "Selamatkan Negara" dengan berikrar akan duduk di hadapan bangunan Parlimen sehingga Datuk Seri Najib Razak bersetuju meletak jawatan.
Kumpulan yang menggelar diri mereka Langkah Siswa memulakan protes dengan berarak di tengah hujan hari ini, bermula daripada bangunan Bank Negara Malaysia di Jalan Dato' Onn ke bangunan Parlimen.
Bercakap kepada pemberita, penyelaras gerakan tersebut berkata, mereka mahu Najib meletak jawatan dan sehingga itu, mereka akan terus duduk berhimpun di hadapan bangunan Parlimen itu.
Katanya, selain menuntut peletakan jawatan Najib, kumpulan itu juga mendesak tindakan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun Najib.
Selain itu, kumpulan itu juga menuntut sesi rundingan diadakan antara kerajaan, mahasiswa dan pembangkang.
Malah kata Lau, Langkah Siswa juga membidas kenyataan Najib yang beliau sedia membincangkan isu kontroversi derma RM2.6 bilion secara tertutup kerana bimbang akan beri kesan pada parti.
"Ini sangat mengecewakan dan tidak boleh diterima.
"Bagaimana kenyataan sebegini boleh keluar daripada mulut seorang yang bukan sahaja presiden Umno, tetapi bertanggungjawab untuk seluruh rakyat Malaysia?" katanya.
Beliau berkata, skandal Najib memberi kesan terhadap ekonomi negara dan rakyat memerlukan penjelasan yang disokong bukti yang kukuh bagi menyelamatkan keadaan.
"Dengan tindakan beliau menolak memberi penjelasan kepada umum, menunjukkan beliau lebih berminat menyelamatkan partinya berbanding negara.
"Beliau sebenarnya tidak sesuai menjawat jawatan perdana menteri," kata Lau.
Ditanya adakah Langkah Siswa akan menyertai perhimpunan Bersih 4 pada hujung bulan ini, Lau berkata ia masih belum diputuskan.
"Tapi setakat ini, ada tuntutan Bersih yang selari dengan desakan kita. Kita akan lihat dulu bagaimana," katanya.
sumber
No comments: