» » Ramai ditangkap kerana teruskan Himpunan #TangkapNajib


Dua ahli Parlimen pembangkang ditangkap hari ini selepas tidak mengendahkan amaran polis untuk bersurai berhampiran kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur hari ini, menjelang protes #TangkapNajib petang ini.

Wakil rakyat PKR itu – ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja Chang Lih Kang dan Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing – ditahan pukul 2.20 petang selepas mereka tidak mempedulikan arahan polis yang sudah mula mengambil tindakan terhadap peserta protes itu.

Kehadiran begitu ramai pihak polis dapat dilihat dengan kira-kira 80 anggota ditempatkan di sekitar kompleks membeli-belah popular itu di mana para peserta perhimpunan sedang berkumpul.

Peserta protes juga dilihat membaling mercun dalam tindak balas mereka kepada polis dan ini menyebabkan beberapa kedai berdekatan terpaksa menghentikan perniagaan mereka.

Tidak lama selepas keduanya ditahan, kekecohan berlaku dengan seorang penunjuk perasaan menjerit "Undur Najib!" dan dia kemudiannya ditangkap.

Seorang penyokong Bersih, seorang wanita tua, kemudiannya kedengaran mengulangi jeritan slogan beberapa kali dan meminta orang ramai meneruskan protes.



"Saya nak tahu bagaimana duduk dalam lokap. Saya suka. Jangan risau," katanya.

Selain daripada pemimpin PKR itu, anggota Demi Malaysia, penganjur protes itu, juga dilihat ditangkap pihak polis.

Sumber berkata, polis juga menghentikan mereka yang memakai baju-T putih di stesen LRT Raja Laut yang berdekatan bagi menghalang mereka menyertai perhimpunan di Sogo itu.

Beberapa batang jalan juga disekat untuk menghadkan akses ke pusat bandar.

Pada jam 3 petang, polis dengan menggunakan alat pembesar suara, mengeluarkan satu lagi amaran kepada peserta untuk bersurai.

Difahamkan tangkapan setakat ini mencecah 20 orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semalam polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana kumpulan yang menghasut orang ramai supaya berdemonstrasi di jalanan dalam usaha menggulingkan kerajaan.

Bantahan yang dianjurkan kumpulan aktivis belia Demi Malaysia itu menuntut penangkapan perdana menteri kerana didakwa terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .