Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan meneruskan prosiding inkuirinya terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) esok, kata naib pengerusinya Dr Tan Seng Giaw.
Katanya, tidak munasabah untuk menghentikan siasatan PAC tersebut selama hampir 3 bulan, merujuk kenyataan speaker Dewan Rakyat sebelum ini yang mengatakan ia hanya boleh disambung semula selepas Parlimen bersidang pada Oktober.
"Pada masa kini, orang ramai mempunyai akses kepada pelbagai berita dan pandangan. Ada yang sahih, ada yang sebaliknya. Kita cuba untuk memberi maklumat yang sahih.
"Sebagai tanggungjawab kepada masyarakat, ahli PAC akan menghadiri persidangan tentang 1MDB di Dewan Rakyat pada 4 Ogos, 2015 jam 10 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Tan juga merujuk kenyataan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang berkata kerajaan persekutuan tidak mempunyai kuasa menghentikan siasatan yang sedang dijalankan PAC terhadap 1MDB.
Pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) itu berkata, siasatan hanya boleh dihentikan sebaik sahaja jawatankuasa itu membuat rumusan dan membentangkannya kepada anggota Dewan Rakyat.
Mengulas kenyataan itu, Dr Tan berkata, sekiranya Rahman berpendirian begitu, "Beliau seharusnya membantu PAC menyambung kerja tanpa gangguan."
"Sekiranya beliau percaya hanya kerana 4 ahli berhenti menjadi ahli, PAC tidak akan menggendalakan atau menghentikan penyiasatan itu, yang terbaik ialah supaya beliau membantu PAC meneruskan kerjanya tanpa gangguan.
"Tambahan pula, apabila kebenaran sudah ditemui, kesemua tuduhan terhadap 1MDB akan didedahkan sebagai palsu. Ini strategi, bukan putar belit," katanya.
Dalam rombakan Kabinet minggu lepas, Datuk Seri Najib Razak melantik 3 anggota PAC sebagai timbalan menteri dan seorang menteri, termasuk pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamad yang kini timbalan menteri dalam negeri.
Tiga yang lain ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (timbalan menteri luar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (menteri sains, teknologi dan inovasi).
PAC dijadualkan memanggil Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada 4 dan 5 Ogos.
Manakala bekas CEO 1MDB Hazem Abdul Rahman yang berkhidmat dari Mac 2013 hingga Januari 2015 dipanggil selepas itu.
Pada 29 Julai, Nur Jazlan berkata semua prosiding PAC untuk Ogos, termasuk siasatan terhadap 1MDB akan diberhentikan buat sementara waktu disebabkan lantikan Kabinet.
Katanya, ia hanya akan diteruskan selepas ahli jawatankuasa (AJK) baharu diumumkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang pada Oktober.
Tetapi Dr Tan menafikannya, mengatakan Nur Jazlan tidak berhak bercakap bagi pihak PAC kerana beliau kini tidak lagi menganggotainya.
Bagaimanapun, pada 30 Julai, speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata prosiding siasatan skandal kerugian RM42 bilion 1MDB tidak boleh diteruskan sehingga pengerusi PAC yang baharu dilantik.
Beliau dipetik laporan portal BNBBC berkata, mesyuarat rutin PAC juga tidak boleh diadakan bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau isu berbangkit mengenai kesahihan prosiding pada masa akan datang ketika kerusi pengerusi tidak diisi.
Katanya, walaupun Peraturan Mesyuarat 77 (3) membolehkan seseorang AJK PAC mempengerusikan mesyuarat menggantikan pengerusi atau naib pengerusi, namun ia hanya terpakai dalam hal 2 jawatan tertinggi itu tidak dapat hadir atas sebab uzur atau sebab tertentu lain, dan bukannya atas sebab pengosongan jawatan.
sumber
No comments: