» » CEO 1MDB tidak akan hadir prosiding PAC esok berkaitan siasatan skandal 1MDB


Eksekutif dan bekas eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan menghadiri prosiding inkuiri Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) esok, walaupun jawatankuasa Parlimen itu terdahulu hari ini mengatakan ia akan diteruskan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, syarikat pelaburan negara itu mengatakan ia menerima makluman rasmi daripada setiausaha Parlimen mengatakan prosiding itu ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kemudian.

1MDB katanya, menghormati PAC sebagai pihak berkuasa yang sah dan forum yang paling tepat menjawab sebarang persoalan mengenai 1MDB.

"Kami mempunyai keyakinan yang jawatankuasa dwi-partisan ini akan memberi peluang seadilnya untuk 1MDB memberi penjelasan tentang kedudukan syarikat kepada pihak berkuasa yang sah, mengikut keperluan proses wajar.

"Sekali lagi kami mengulangi hasrat kami untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada PAC dan kami menanti untuk hadir dalam sesi PAC pada tarikh yang baharu," kata kenyataan itu.

Terdahulu hari ini, naib pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw berkata jawatankuasa Parlimen itu akan meneruskan prosiding siasatannya terhadap skandal kerugian RM42 bilion 1MDB esok seperti jadual asal.

PAC dijadualkan memanggil presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy serta bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada 4 dan 5 Ogos.

Manakala bekas CEO 1MDB Hazem Abdul Rahman yang berkhidmat dari Mac 2013 hingga Januari 2015 dipanggil selepas itu.

Bagaimanapun, rombakan Kabinet minggu lepas menyaksikan pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamad dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri dalam negeri, bersama tiga lagi ahli PAC yang turut dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Susulan itu, Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai itu berkata, semua prosiding PAC untuk Ogos, termasuk siasatan terhadap 1MDB akan diberhentikan buat sementara waktu sehingga pelantikan ahli PAC baru.

Bagaimanapun, naib pengerusi Dr Tan Seng Giaw dari DAP mengatakan prosiding boleh diteruskan walau tanpa 4 ahli itu kerana ia masih menepati kuorum yang diperlukan mengikut perundangan.

Namun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata prosiding siasatan itu tidak boleh diteruskan sehingga pengerusi PAC yang baharu dilantik selepas persidangan Parlimen akan datang bermula Oktober.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .