Polis hari ini menyoal seorang pengarah di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam meneruskan siasatannya terhadap kes kebocoran maklumat mengenai siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Datuk Bahri Mohamad Zin, Pengarah (Operasi Khas) SPRM, merupakan orang keempat disoal siasat polis berhubung kes itu.
The Malaysian Insider juga difahamkan, polis dijangka menyoal seorang lagi pegawai SPRM bagi membantu siasatan.
Satu pasukan, dipercayai dari Bukit Aman, tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 2.45 petang ini.
Bahri, yang tiba di pejabatnya jam 3.07 petang, kelihatan terkejut dengan kehadiran ramai petugas media di hadapan bangunan ibu pejabat itu.
Beliau diiringi ke dalam bangunan oleh pegawainya dan beberapa anggota keselamatan.
Sabtu lepas, polis menahan pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur dan bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh untuk disoal siasat berkaitan dengan kes itu.
Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.
Mereka dibebaskan pada malam yang sama apabila pihak polis gagal mendapatkan perintah reman untuk menahan mereka lebih lama.
Penangkapan Rashpal dipercayai berkaitan dengan laporan yang beliau ada menemui editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London.
SPRM bagaimanapun menafikan kebocoran dalam penyiasatan Putrajaya berhubung firma pelaburan negara yang dibebani hutang itu dibuat orang dalam agensi anti-rasuah itu.
Pengarah komunikasi strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob pada 21 Julai berkata Rashpal tidak mempunyai akses kepada siasatan berterusan yang dijalankan agensi itu kerana tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli lembaga itu berakhir pada Februari.
sumber
No comments: