Menggesa semua ahli Parlimen bersatu menyokong usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak, susulan kebimbangan mengenai pergolakan politik di negara ini, sekumpulan ahli Parlimen PKR mencadangkan sebuah kerajaan peralihan dibentuk.
Ia antara empat syarat dicadangkan 20 wakil rakyat itu, yang mengatakan kerajaan peralihan yang terdiri daripada kedua-dua Barisan Nasional dan pembangkang itu, harus memanggil pilihan raya umum dalam masa dua tahun selepas pembentukannya bagi membolehkan ia mengambil alih pentadbiran negara.
"Sebagai ahli Parlimen, kita berkewajipan mewakili kehendak dan suara rakyat, dalam menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri dalam undi tidak percaya demi negara kita, untuk memulihkan demokrasi dan integriti moral dan kebebasan institusi awam kita.
"Kami akan bekerjasama dengan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti untuk menyokong undi tidak percaya terhadap perdana menteri," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Ia ditandatangani Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Rafizi Ramli (Pandan), Tian Chua (Batu), Sivarasa Rasiah (Subang), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Lee Boon Chye (Gopeng), Datuk Johari Abdul (Sungai Petani), Darell Leiking (Penampang), Fuziah Salleh (Kuantan), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Datuk Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), Mohd Imran Abdul Hamid (Lumut), Wong Chen (Kelana Jaya), William Leong (Selayang), Datuk Fauzi Abdul Rahman (Indera Mahkota), Dr Michael Teo Yu Keng (Miri), Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), Manivanan Gowin (Kapar), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dan Gooi Hsiao Leung (Alor Star).
Kumpulan itu berkata, kerajaan peralihan itu akan memulakan pembaharuan segera bagi memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, media yang bebas dan sistem demokrasi berparlimen yang kukuh.
Ia juga harus membentuk satu jawatankuasa ekonomi kecemasan untuk menangani kebimbangan mengenai ringgit yang semakin lemah, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), peningkatan kos hidup dan membasmi kroni kapitalisme.
"Kerajaan peralihan hendaklah juga dengan segera menubuhkan suruhanjaya diraja yang bebas untuk membuat cadangan bagi memastikan Perjanjian Malaysia 1963 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya," kata mereka dalam kenyataan itu.
Mereka melahirkan kerisauan yang amat sangat berhubung tindakan yang didakwa diambil kebelakangan ini bagi melemahkan demokrasi, kedaulatan undang-undang dan urus tadbir baik kerajaan di negara ini.
"Tindakan itu dan ketiadaan langsung ketelusan dan akauntabiliti dari pihak perdana menteri menjelaskan sepenuhnya skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggoyahkan keyakinan pelabur, memberi kesan negatif kepada ringgit dan ekonomi secara keseluruhan.
"Ini menyebabkan kesusahan kewangan kepada rakyat Malaysia.
"Kami yakin jika penumpuan kuasa di tangan satu individu terus dibiarkan dan tidak dengan cepatnya dikembalikan kepada rakyat, Malaysia akan segera menuju ke arah menjadi satu negara diktator yang gagal," kata mereka.
sumber
No comments: