» » Pemimpin yang ada kuasa dan memerintah jangan hanya dengar cakap pengampu dan pembodek


Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini berpesan kepada pemimpin negara supaya tidak hanya mendengar cakap golongan pengampu kerana kelak ia akan merosakkan sesebuah kerajaan.

Membaca kisah dongengan "Raja tidak berbaju" di depan kira-kira 500 perwakilan Umno, naib presiden Umno itu berkata, seseorang pemimpin yang gila pujian akan dikelilingi mereka yang suka mengampu.

Ia akan menyebabkan dirinya ditipu sehingga terkeliru dengan yang setia berpegang kepada prinsip perjuangan, katanya.

"Selalunya pemimpin yang gila puji akan dikelilingi pembantu yang kaki ampu. Dia terkeliru antara ampu dengan setia.

"Kaki ampu menipu. Sedangkan orang setia berpegang kepada prinsip yang benar," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bentong di Bentong, Pahang hari ini.

Shafie antara pemimpin tertinggi Umno yang disingkirkan daripada Kabinet Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan Najib pada hujung bulan lalu itu dipercayai kerana kritikan lantang mereka dalam isu membabitkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Shafie dan Muhyiddin sejak penyingkiran tersebut meneruskan kritikan terhadap Najib dalam isu dana pelaburan negara itu dan terbaru, mengenai skandal RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Shafie berkata, kesetiaan yang sebenar adalah setia kepada kebenaran, berbeza dengan pengampu, yang hanya mengejar jawatan dan kedudukan.

"Setia pada kebenaran, itulah setia yang sebenar. Manakala kaki ampu hanya dahagakan pangkat dan kedudukan," katanya.

Dalam rombakan Kabinet tersebut, beberapa pemimpin Umno yang lantang mempertahankan Najib dalam isu 1MDB turut dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh dan juga timbalan menteri.

Shafie berkata, tidak wajar seseorang itu dituduh sebagai penderhaka apabila memberi teguran baik kepada pemimpin, sebaliknya seseorang pemimpin perlu bersikap terbuka.

"Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka,’ maka para pemimpin akan kehilangan orang setia yang tidak suka bermuka-muka.

"Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dalam kalangan para Rasul dan Khulafa’ al-Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran," katanya.

Katanya, pengampu hanya memberi nasihat untuk menjaga kepentingan sendiri sehingga membawa kejatuhan kepada sesebuah kerajaan.

"Nasihat dan pandangan pengampu bukan berdasarkan realiti sebenar, tetapi lebih didorong untuk menjaga kepentingan peribadi.

"Akibatnya, berlakulah seperti yang dikatakan pepatah 'harap sokong, sokong yang membawa rebah' atau 'harapkan pegar, pegar makan padi'," katanya.

Shafie berkata, teguran yang dibuatnya bukan bertujuan mencetuskan kebencian tetapi kerana sayangkan pemimpin.

"Menegur bukan kerana benci, tetapi kerana sayang," katanya.

Shafie juga mengingatkan pemimpin mengenai harga sebuah kejujuran yang perlu dijaga agar rakyat tidak terus menderita kerana ditindas pengampu.

"Harga kejujuran sangat mahal. Namun itu sangat perlu untuk menjaga kehormatan 'raja' agar tidak muncul di depan pengikut dengan tidak berbaju.

"Juga, agar orang bawahan tidak berterusan menderita akibat penindasan para pembantu yang terus mengampu," katanya.

Shafie antara pemimpin tertinggi Umno yang disingkirkan daripada Kabinet Datuk Seri Najib Razak hujung bulan lepas bersama Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kritikan dalam isu membabitkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Shafie dan Muhyiddin sejak daripada penyingkiran tersebut meneruskan kritikan kepada Najib dalam isu 1MDB dan terbaru mengenai skandal RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi perdana menteri.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .