» » Ahli UMNO perlu diberikan ruang seluas-luasnya untuk suarakan pandangan dan pendapat mereka


Datuk Seri Khaled Nordin berkata, ahli Umno perlu diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyuarakan pandangan mereka kerana kebebasan menyuarakan pendirian adalah fitrah yang azali.

Khaled dalam ucapannya selaku pengerusi perhubungan Umno Negeri Johor dalam mesyuarat perwakilan Bahagian Pasir Gudang turut memberi amaran sekiranya saluran formal ditutup, ahli parti akan mencari ruang alternatif untuk menyuarakan pendirian mereka.

"Tutuplah ruang formal untuk bersuara, pasti akan dicari ruang lain untuk mereka menyatakan rasa dan pandangan mereka.

"Dalam dalam kebanyakan keadaan, mereka akan menemui ruang alternatif, malah lebih berpengaruh, lebih kuat dan lebih berkesan," katanya, dalam ucapan di hadapan lebih 700 perwakilan yang hadir.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi di kawasan Pasir Gudang, Umno berhadapan pengundi yang lebih "urban dan sophisticated" yang mengambil maklum berhubung keadaan sekeliling hari ini.

Ketua bahagian Umno Pasir Gudang itu berkata, mereka merasakan keyakinan terhadap parti Melayu itu semakin pudar.

"Saban hari, kami dapat merasakan keyakinan terhadap Umno semakin pudar, bukan sahaja daripada rakyat tetapi dari ahli sendiri.

"Mereka mula radikal dalam soalan dan reaksi mereka. Mereka mula menunjukkan rasa dingin dengan apa jua penjelasan yang kita berikan," kata menteri besar Johor itu.

Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Bahagian Umno Pasir Gudang.

"Kerana itu, kita harus mendengar dengan sabar, kerana jika kita mendengar, kita akan memahami aspirasi rakyat dengan lebih mendalam dan jangan lupa kita memerintah di zaman yang bukan zaman kita," kata Khaled.

Beliau berkata, melalui mendengar luahan dan pendirian ahli, pemimpin hari ini akan mencorakkan masa depan mereka.

"Zaman ini adalah zaman generasi pelapis, oleh itu, bila kita mendengar, dan mengambil iktibar daripada apa yang kita dengar, sekurang-kurangnya kita bersama mereka, mencorakkan perjalanan masa depan mereka," katanya.

Khaled mengakui terdapat isi hati yang bersuara keras dan kritikal, namun tiada apa yang dapat menghalang mereka menyuarakannya.

"Kami percaya, semua mesti punya ruang untuk menyatakan isi hati mereka. Benar ada yang kritikal, benar ada yang keras, dan benar ada yang meragukan.

"Tetapi apa daya yang ada pada kita untuk menghalang ini semua," katanya.

"Pentas politik Malaysia sudah berubah, berubah dengan luar biasa sekali, kita tidak boleh menidakkan sesiapa jua daripada bersuara kerana itu fitrah manusiawi, kerana itu jiwa demokrasi".

Najib sebelum ini menggugurkan beberapa pemimpin Kabinet, susulan kritikan yang diterimanya daripada isu membabitkan syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain beliau turut menerima nasib sama adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang digugurkan daripada jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .