» » Persoal langkah pindahkan pegawai SPRM yang sedang siasat skandal 1MDB


Tindakan memindahkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada ketika siasatan terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang berjalan adalah tidak wajar, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata, mengapa kerajaan tidak boleh menunggu siasatan sehingga selesai sebelum membuat keputusan tersebut.

"Mengapa tiba-tiba 2 pegawai SPRM ditukar ketika siasatan 1MDB masih dijalankan?" soal Shafie dalam satu kenyataan hari ini.

"Tidak boleh kah tunggu sehingga selesai siasatan? Adakah kerajaan sendiri tidak mahu kebenaran tertegak?" kata Shafie yang digugurkan sebagai menteri Kabinet baru-baru ini.

Shafie, yang juga bekas menteri luar bandar yang lantang membangkitkan isu 1MDB berkata tindakan tersebut memberikan persepsi umum tidak baik kepada kerajaan.

"Tindakan memindahkan pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri memberikan persepsi umum tidak baik kepada sebuah kerajaan yang mengamalkan ketelusan dan berintegriti," katanya.

Kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai pemindahan pegawai SPRM tersebut, kata Shafie.

"Kerajaan perlu memberikan penjelasan yang rasional dan telus mengenai tindakan pemindahan pegawai SPRM bagi mengelakkan rasa sangsi dan tidak puas hati di kalangan rakyat," katanya.

Jumaat lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana "isu disiplin" berkuat kuasa serta merta.

Pemindahan mereka dibuat tidak lama selepas 7 pegawai SPRM disoal siasat, pejabatnya diserbu 2 kali dan 2 daripada pegawainya ditahan semalaman oleh polis dalam tempoh seminggu.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut mempersoalkan pemindahan 2 orang pegawai SPRM itu ke JPM.

Menteri belia dan sukan itu berkata, keadaan seperti itu tidak sewajarnya berlaku kerana institusi seperti SPRM yang mesti dipertahankan untuk sentiasa bebas dan dapat menjalankan tugas dengan telus.

Katanya, tindakan Putrajaya memindahkan 2 pegawai kanan SPRM hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan mencetuskan kemarahan rakyat.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .