» » Peguam negara dan polis perlu jelaskan pertuduhan rasuah terhadap Najib Razak wujud atau tidak


Peguam negara dan polis perlu menjelaskan jawapan mereka yang bercanggah berhubung draf kertas pertuduhan rasuah terhadap perdana menteri yang bocor kepada laman Sarawak Report, kata DAP hari ini.

Pemimpin Parlimen parti itu Lim Kit Siang berkata, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata kertas draf pertuduhan itu adalah palsu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, bagaimanapun kemudian berkata beberapa pegawai agensi anti-rasuah disiasat untuk mengetahui bagaimana salinan draf itu boleh bocor dan dimuat naik di laman web yang berpangkalan di United Kingdom.

Lim berkata perkara itu akan berakhir jika peguam negara benar dalam mengatakan draf itu adalah palsu.

"Peguam negara baharu Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada mulanya menolak draf kertas pertuduhan sebagai palsu, dan jika benar, ia harus menjadi akhir cerita.

"Apabila polis menangkap dan menyoal siasat pegawai SPRM berhubung kertas draf pertuduhan, adakah ini bermakna sebenarnya terdapat draf kertas pertuduhan rasuah terhadap Najib di premis SPRM, dan ia bocor kepada media sosial?

"Mana satu yang benar?" kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 30 Julai, Sarawak Report memuat naik apa yang didakwa sebagai draf kertas pertuduhan tuduhan rasuah terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

SRC International kini dimiliki oleh Kementerian Kewangan yang diterajui Najib.

Apandi, yang menjadi peguam negara baharu pada 28 Julai, mengumumkan dalam satu kenyataan pada 31 Julai yang draf kertas pertuduhan itu adalah palsu, dan ia sebahagian daripada konspirasi terhadap perdana menteri.

Bagaimanapun, Khalid berkata polis sedang menyiasat kebocoran yang dikatakan maklumat rasmi kepada Sarawak Report.

Tujuh pegawai SPRM disoal berhubung perkara itu, dan pejabat bahagian operasi khas agensi itu diserbu. Bahagian ini mengetuai siasatan terhadap SRC International.

Lim hari ini mempersoalkan jika draf kertas pertuduhan terhadap Najib seperti didedahkan Sarawak Report adalah "sebahagian daripada imaginasi" atau tidak.

Jika polis sedang menyiasat kebocoran maklumat tersebut, "mengapakah peguam negara baharu menafikan dengan memberitahu ia draf kertas pertuduhan palsu," katanya.

Ahli politik DAP itu berkata, perkara terbaik yang perlu dilakukan kerajaan adalah mengembalikan semula 2 pegawai SPRM yang tiba-tiba dipindahkan daripada agensi.

Beliau juga menggesa siasatan penuh ke atas "kegagalan pentadbiran teratur dan kedaulatan undang-undang".

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .