» »Unlabelled » 'Tiada duit KWAP yang masuk dalam akaun bank peribadi Najib Razak'


Tidak ada satu sen pun daripada AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak datang daripada dana pencen kerajaan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, wang itu bersumberkan hanya seorang penderma dari Timur Tengah, dan ia disalurkan melalui pelbagai syarikat untuk mengelak daripada dikesan.

"Tiada wang KWAP digunakan oleh Umno atau didepositkan ke dalam akaun Najib. Saya lihat dokumen-dokumennya,” kata Zahid ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Sri Gading hari ini.

"Satu ratus juta dolar AS yang pertama adalah cek atas nama Najib. Pemindahan dana berikutnya melalui pelbagai saluran dan firma kerana penderma tidak mahu dilihat yang satu cek besar ditulis di bawah nama Najib.


"Pada kesudahannya, semuanya dibuat untuk membantu kita, sebagai pembiayaan politik."

Beliau tidak menamakan identiti penderma itu, dan berkata, jika pembangkang ingin tahu siapa penderma itu, mereka mesti mendedahkan sumber dana mereka sendiri terlebih dahulu.

Sejumlah RM4 bilion dana KWAP dipinjamkan kepada salah satu syarikat itu, SRC International Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada aliran wang yang berakhir di akaun bank peribadi Najib di AmBank, Kuala Lumpur.

SRC International mengambil pinjaman itu ketika ia masih anak syarikat 1MDB, sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Kurangnya akauntabiliti ke atas operasi dan tujuan penubuhan SRC International pada satu ketika mendorong ahli politik pembangkang menganggapnya berpotensi menjadi satu lagi skandal kewangan.

SRC International dinamakan sebagai syarikat asal wang RM42 juta yang akhirnya masuk ke akaun Najib antara Disember 2014 dan Februari tahun ini, selepas dipindahkan melalui Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Ihsan Perdana ialah firma yang menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat syarikat yang diilhamkan Najib, firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

The Wall Street Journal pertama kali melaporkan mengenai aliran wang itu pada 2 Julai, memetik dokumen daripada penyiasat Malaysia.

Jumlah terbesar yang dipindahkan daripada dana itu, sebanyak AS$681 juta, didepositkan ke dalam akaun Najib menjelang pilihan raya umum pada Mei 2013.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .