» » Saran Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa bincang Skandal 1MDB sebagai sub tema


DAP hari ini mencadangkan satu persidangan anti-rasuah antarabangsa yang akan datang, yang memaparkan Datuk Seri Najib Razak, memasukkan sub-tema yang berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Parlimen parti itu Lim Kit Siang berkata, firma pelaburan negara yang sarat dibebani hutang itu akan menjadi kajian kes yang "sempurna" mengapa tema Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) itu – “Ending Impunity: People, Integrity and Action” (Menghentikan Impuniti: Manusia, Integriti dan Tindakan) – begitu sukar untuk dicapai.

"Malah, IACC ke-16 itu harus mempunyai satu sub-tema 'Ibu segala Skandal Kewangan di Malaysia - Skandal 1MDB RM42 bilion'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu secara berseloroh mengatakan, persidangan itu "amat bertuah" kerana menerima penghormatan dengan kehadiran perdana menteri, yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, sebagai penyampai ucaptama.

"Memandangkan IACC tidak pernah dan tidak lagi akan dapat peluang sebegini pada masa akan datang , di mana perdana menteri yang secara peribadi dan secara langsung terlibat dalam skandal kewangan, yang makin membesar menjadi bencana nasional dan antarabangsa, akan membentangkan kajian kes mengenai bagaimana sangat perlu, tetapi mustahil, untuk mencapai tema persidangan itu," katanya.

Persidangan itu, yang akan diadakan pada September, akan dianjurkan bersama Putrajaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Transparency International Malaysia.

Najib dijadualkan bercakap pada majlis itu yang dijangka menarik 800 hingga 2,000 peserta dari seluruh dunia, menurut maklumat dalam talian mengenai acara itu.

Menurut laman web persidangan itu, acara itu digambarkan sebagai "forum perdana global dunia" bagi kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta menangani rasuah.

Lim hari ini mencadangkan empat tokoh yang mengetuai pasukan petugas khas menyiasat dakwaan Najib menerima berbilion ringgit yang dipindahkan dari dana milik negara ke akaun peribadinya, juga perlu dimasukkan dalam senarai penceramah pada persidangan itu.

Mereka ialah Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Mereka perlu hadir di hadapan sesi IACC itu untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka kerana mereka mungkin satu-satunya pasukan pegawai bawahan yang menyiasat pemimpin nombor satu kerajaan dan negara, iaitu perdana menteri," kata Lim.

"Siapa akan percaya empat orang bawahan kepada Najib ini akan dapat menjalankan siasatan terhadap perdana menteri dengan bebas, berdikari dan profesional, malah mencadangkan beliau disingkirkan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah?"

Lim berkata, beliau tidak ragu-ragu lagi yang jika undian dibuka kepada IACC, sama ada peserta persidangan meluluskan atau tidak perkara sebegitu, jawapannya sudah pasti sebulat suara "tidak".

"Saya harap pihak berkuasa Malaysia tidak akan menarik diri daripada persidangan anti-rasuah global di Putrajaya ini dengan perdana menteri membuat penampilan sebagai penceramah menyampaikan pandangan beliau yang unik dan pengalamannya berhubung tema persidangan itu," kata pemimpin veteran DAP itu.

Semalam, Lim berkata, persidangan itu patut dibatalkan kerana Malaysia ketika ini menjadi perhatian berhubung kes 1MDB dan wujud dakwaan penyelewengan yang melibatkan perdana menteri.

Beliau berkata Malaysia tidak boleh dianggap sebagai contoh dalam memerangi rasuah, dan sekiranya persidangan itu diteruskan, ia akan lebih memalukan rakyat Malaysia.




About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .