Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan dakwaan kononnya tiga pegawai kanan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki membocorkan maklumat sulit kepada akhbar antarabangsa Wall Street Journal (WSJ).
Beliau berkata, 3 pegawai atasan berkenaan tiada kaitan dengan siasatan pihaknya buat masa ini, malah BNM dalam satu kenyataan hari ini mengecam sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Menurut kenyataan bank pusat itu dakwaan itu tidak berasas dan BNM sudah membuat laporan polis mengenainya.
Khalid berkata buat masa ini, mereka (tiga pegawai kanan) tiada kaitan dengan siasatan Pasukan Petugas Khas mengenai 1MDB.
Katanya, dalam proses siasatan, ramai orang dipanggil untuk beri keterangan termasuk pegawai BNM dan bank komersial bagi membantu.
"Kita buka siasatan dan membuat perancangan. Terlebih dahulu kita pergi (siasat) kepada mereka yang bertanggungjawab ke atas rekod akaun dan seterusnya," katanya pada sidang media selepas majlis Ihya Ramadan PDRM Negeri Sembilan bersama kariah Masjid Nurul Iman Kampung Gebok, Mantin dekat Nilai.
Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin menerbitkan artikel bertajuk 'The Bank Negara Scandal, Yet Again' yang mengandungi dakwaan itu.
WSJ baru-baru ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa mengesan pergerakan wang hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun yang dikatakan milik peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ekoran itu, satu pasukan petugas khas termasuk Khalid ditubuh bagi menyiasat perkara berkenaan.
Pada majlis itu Khalid dan isteri Puan Sri Imran Ibrahim turut menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim, pesara polis, Orang Kurang Upaya (OKU), keluarga asnaf, warga emas, ibu tunggal dan balu.
Khalid serta para hadirin kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
No comments: