» » Pesara kerajaan bimbang bayaran pencen bulanan terjejeas akibat skandal 1MDB


Bekas penjawat awam bimbang adakah pencen bulanan mereka akan terjejas susulan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meminjam wang daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

KWAP, yang ditubuhkan bagi membantu kerajaan membayar pencen pesara, meminjamkan sejumlah RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd, satu daripada 3 syarikat yang diserbu pada 3 Julai berikutan siasatan pasukan petugas khas ke atas dakwaan ia menyalurkan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kumpulan itu juga melabur RM1.4 bilion dalam anak syarikat 1MDB lain – Bandar Malaysia Sdn Bhd, 1MDB Energy Limited, 1MDB Global Investment Limited dan Jimah Energy Ventures Bhd.

Siasatan pasukan khas itu menjurus kepada dakwaan SRC International dan 2 syarikat 1MDB lain memindahkan wang ke dalam akaun peribadi Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015.

"Ada beberapa ahli datang bertanya sama ada bayaran pencen bulanan mereka akan terjejas (oleh siasatan itu)," kata Datuk Omar Osman, yang mengetuai Kelab Pesara Penjawat Awam 1Malaysia.

"Kami beritahu mereka jangan risau kerana KWAP akan melakukan yang terbaik mendapatkan semula wang dilaburkan. Pesara berharap pencen bulanan mereka tidak akan terjejas dengan apa yang berlaku di dalam SRC.

"Kami berharap apa sahaja yang dilakukan KWAP dalam membantu kerajaan membayar pencen, ia dilakukan dengan penuh hemah supaya tidak menjejaskan bayaran pencen bulanan," kata Omar, yang juga bekas presiden Cuepacs, kesatuan sekerja utama penjawat awam.

Seorang bekas penjawat awam yang tidak mahu dikenali berkata, pembabitan KWAP dalam masalah 1MDB sering menjadi perbincangan di kalangan rakan pesara kerajaan, malah sebelum siasatan ke atas akaun Najib bermula.

"Tetapi orang tidak marah atau hendak berdemonstrasi di jalan, kerana pada akhirnya mereka masih menerima bayaran pencen bulanan mereka," kata bekas pegawai sebuah badan berkanun itu.

Pada masa ini, pencen masih dibayar kerajaan manakala menurut laman web KWAP, kumpulan itu berfungsi membantu kerajaan membiayai bayaran itu.

Dalam memenuhi peranan ini, KWAP, setakat had yang ditetapkan, dibenarkan melabur dalam saham pasaran, hartanah dan syarikat bagi menjana kewangan.

Pinjaman kepada SRC International yang dibuat pada 2011 itu membuatkan KWAP terpalit dalam masalah 1MDB sebelum siasatan dimulakan ke atas akaun Najib minggu lalu.

Pinjaman itu juga dijamin kerajaan.

Pada Mei lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mendakwa Kementerian Kewangan (yang kini memiliki SRC International) masih tidak dapat membayar balik sejumlah RM3.6 bilion wang yang dipinjamkan KWAP.

Pada 21 Mei, beberapa pemimpin PKR memfailkan injunksi mahkamah untuk menghentikan tindakan KWAP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Tabung Haji daripada membuat sebarang pelaburan lagi ke dalam 1MDB atau anak syarikatnya.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Ramon Navaratnam terkilan dan kecewa dengan perkembangan dalam KWAP dan bagaimana ia boleh terjerat dengan masalah yang membelenggu 1MDB.

Masalahnya kata beliau, berpunca daripada penggubal dasar Putrajaya yang tidak faham "kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan".

Ramon yang juga seorang pesara berkata, dalam perniagaan, wang swasta berisiko untuk menjana keuntungan tetapi juga boleh lesap jika prestasi syarikat dalam keadaan turun dan naik.

"Dalam kerajaan, ia adalah wang rakyat yang sedang dirisikokan. Bagaimana anda boleh meletakkan kebajikan dan masa depan rakyat dalam risiko?

"Sebagai seorang pesara dan pembayar cukai, saya sangat sedih bagaimana kita boleh terlibat dalam masalah ini."

Datuk Azih Muda yang kini mengetuai Cuepacs, enggan mengulas mengenai pinjaman dan dana pelaburan dalam 1MDB itu, sebaliknya hanya mengatakan, wang berjumlah RM4 bilion itu dijamin oleh kerajaan.

"Wang itu tidak akan hilang, itu jaminan daripada kerajaan. Ia akan dibayar balik, "kata Azih, yang juga ahli lembaga KWAP.

Azih juga ada pesanan kepada penjawat awam yang bimbang tentang bayaran pencen mereka.

"Saya menggesa penjawat awam tidak terpengaruh dengan persepsi dan sentimen, jangan libatkan diri dalam politik berhubung siasatan yang dijalankan, dan terus melakukan tugas mereka."

KWAP pula enggan mengulas mengenai isu itu apabila dihubungi.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .