Sekumpulan kecil pelajar universiti hari ini mengadakan protes di tengah bandaraya, menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengisytiharkan harta beliau dan menjawab pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai berbilion ringgit yang didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadinya.
Kira-kira 30 orang pelajar dari Gerakan Mahasiswa Selamatkan Malaysia itu juga menuntut perdana menteri menjelaskan sama ada pemindahan wang yang didakwa itu berlaku atau tidak.
Najib juga perlu menyatakan sama ada beliau menggunakan wang itu untuk partinya, Umno, selain sebelum ini menafikan menggunakannya untuk kepentingan peribadi, kata pengerusi kumpulan pelajar itu, Muhammad Luqman Nul Haqim Zul Razali.
"Menggelapkan wang bukan isu kecil; perkara begini kita tidak boleh sekadar tutup mata.
"Ini isu besar, dan sebagai rakyat Malaysia, kita harus menuntut hak kita," katanya kepada pejalan kaki yang berhenti dan mendengar ucapan mereka di luar pusat membeli-belah Sogo.
Kumpulan itu juga melancarkan "Kempen Undur Najib", menggesa orang ramai menurunkan tandatangan mereka pada kain rentang yang disediakan.
Seorang pejalan kaki, Azizi, yang menandatangani kain rentang itu, berkata beliau tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap kerajaan Malaysia.
"Saya tak percayakan kerajaan kita. Mereka tak layak tadbir negara," katanya kepada The Malaysian Insider apabila ditanya kenapa beliau menurunkan tandatangan.
Pelajar yang berdemonstrasi juga memegang pelekat yang tertulis "Kami cinta negara kami", "Dari Putrajaya ke penjara" dan "Undur Najib".
Seorang lagi orang awam, Syafiq dari Petaling Jaya, berkata beliau menandatanganinya kerana katanya, amalan rasuah kini makin menjadi-jadi di negara ini.
"Rasuah lebih ketara sekarang. Lebih baik Najib berundur daripada digulingkan," katanya sambil menambah beliau juga risau tentang tahap hutang Malaysia dan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Aktivis pelajar Fahmi Zainol yang memberi ucapan pada program itu mengatakan, perhimpunan hari ini adalah yang pertama dari banyak lagi yang dirancang di seluruh negara.
Bantahan itu berakhir dengan pelajar menyanyikan beberapa lagu dan menggesa orang ramai terus menurunkan tandatangan.
Kehadiran polis pada perhimpunan pelajar itu hari ini sangat minimum, dengan hanya dua orang pegawai dapat dikesan.
WSJ pada 2 Julai melaporkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib secara berperingkat.
Harian perniagaan itu kemudiannya memuat naik ke Internet dokumen yang dinamakan dalam laporan itu, yang menunjukkan arahan untuk pindahan telegraf dan carta aliran wang.
Satu pasukan petugas khas kerajaan menyiasat dakwaan itu mengesahkan Najib mempunyai dua akaun di AmIslamic bank, dan akaun itu kini ditutup.
Najib menafikan mengambil dana 1MDB untuk 'kegunaan peribadi', tetapi tidak mengulas secara langsung mengenai pemindahan wang ke dalam akaun beliau itu.
sumber
No comments: