Sarawak Report mendakwa penguatkuasa undang-undang di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland kini sedang menyiasat kebocoran maklumat berhubung usaha sama syarikat pelaburan 1MDB dan PetroSaudi.
Dalam kenyataan medianya semalam, Sarawak Report berkata, berdasarkan 'rantaian peristwa' selepas bekas eksekutif PetroSaudi Xavier Justo membocorkan maklumat perjanjian itu pada Februari lalu, ia menunjukkan bahawa bahan itu secara berasingan diperolehi oleh penguatkuasa undang-undang di negara masing-masing.
"Rantaian peristiwa menunjukkan mengapa Sarawak Report tidak mengusik material tersebut kerana pada masa sama ia telah diperolehi (oleh negara lain). Ia juga secara berasingan diberi kepada The Edge dan Sunday Times... Kemudian diserahkan kepada pengawal selia dan penguatkuasa undang-undang di Amerika Syarikat.
"Material ini juga kini telah ditawarkan kepada pengawal selia dan penguatkuasa undang-undang di United Kingdom dan Switzerland. Ia juga ditawarkan oleh The Edge kepada penguatkuasa undang-undang di Malaysia," kata kenyataan itu.
Sarawak Report juga mengakui telah memperkenalkan Justo kepada pengurus The Edge pada pertemuan mereka di Hotel Fullerton di Singapura, Februari lalu.
Tiga salinan material berkenaan kemudian telah dibuat- satu diberi kepada Sarawak Report, satu lagi kepada The Edge dan satu lagi untuk simpanan keselamatan.
No comments: