Walaupun tidak tahu memasak atau berpengalaman melayan gelagat pelanggan, ia tidak menghalang dua graduan universiti tempatan untuk menjalankan perniagaan di restoran bas di Pantai Klebang, Melaka di sini, sejak empat bulan lalu.
Pemilik restoran bas, Costa Kitchen yang juga anak bongsu daripada empat beradik, Khairunisa Zaini, 24, berkata, sebaik menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, dia berminat menjalankan perniagaan di kawasan tumpuan pelancong itu.
Katanya, pada mulanya dia berasa agak keberatan untuk memulakan perniagaan berikutan risau sekiranya hidangan makanan barat yang ditawarkan gagal menepati cita rasa pelanggan.
“Antara persiapan yang dilakukan sebelum memulakan perniagaan ialah mempelajari cara menyediakan makanan barat, saya bernasib baik kerana seorang rakan bukan saja sudi memberikan tunjuk ajar, malah berkongsi resipi untuk melazatkan lagi hidangan disediakan.
“Selepas empat bulan beroperasi, saya menerima maklum balas amat positif daripada pelanggan dan paling membanggakan apabila restoran kami turut dikunjungi artis terkenal seperti Johan Raja Lawak, pelakon Dzarin Kamarudin selain selebriti terkenal yang lain,” katanya.
No comments: