» » Muhyiddin Yassin sepatutnya segera lakukan sesuatu untuk selamatkan UMNO dan rakyat Malaysia


Gambaran yang barangkali sesuai mengenai perasan dan isi hati Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini ialah "mahu tapi masih malu-malu", manakala Datuk Seri Najib Razak pula, di sebalik mahu terus bertahan seperti sudah "tiada perasaan malu" lagi.

Jika di negara lain, pemimpin yang ditimpa musibah seperti Najib ini pasti sudah lama mengundurkan diri secara baik dan terhormat. Dalam konteks sejarah perdana menteri Malaysia pula, beliaulah yang paling buruk prestasi dari segi sokongan rakyat, tetapi masih enggan berundur atau meletakkan jawatan.

Berdepan dengan kedudukan Najib yang kian meruncing susulan dakwaan terbaru Wall Street Journal, Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri mungkin mahu terus melangkah dan menunjukkan keberaniannya sebagaimana pernah mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi mempercapatkan pengunduran pada 2008 lalu tetapi perasaan "malu-malu" itu membatasi langkah seterusnya.

Sudah tentu jika melakukannya sekali lagi desakan seperti itu, beliau akan dituduh semata-mata mengejar kepentingan peribadi lantaran jawatan PM secara automatik akan terjatuh ke pangkuannya.

Susulan kenyataan akhbar yang dikeluarkannya dua hari lalu mengenai dakwaan WSJ itu, Muhyiddin sepantasnya diminta banyak pihak agar berbuat sesuatu yang boleh menyelamatkan Umno dan negara.

Ini kerana melalui tuduhan WSJ mengenai penyaluran wang ke dalam akuan peribadinya, Najib masih belum memberi jawapan yang meyakinkan terhadap dakwaan itu. Beliau hanya membuat penafian kosong tanpa menyentuh mengenai benar atau tidaknya kewujudan akaun bank sebagaimana yang didakwa itu.

Sementara Najib membuat penafian, WSJ tetap berpegang kepada laporan yang mereka tulis dengan menyatakan ia berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai dan sudah diteliti.

Lantaran itu, ia menyebabkan Umno mulai berbelah bagi dan rakyat pula makin menjauhkan sokongan dan kepercayaan terhadap Najib.

Antara tindakan yang diminta Muhyiddin bertindak ialah sama ada mengusulkan PM mengambil cuti atau meletakkan jawatan dengan segera, tambahan lagi dalam kenyataan akhbarnya TPM juga menyebut dakwaan WSJ itu adalah bersifat peribadi terhadap Najib.

Di mana-mana saja ketka ini boleh didengari keinginan agar Muhyiddin segera bertindak kerana isu yang timbul ini dianggap peluang terbaik yang tidak seharusnya dilepaskan. Ia dianggap sebagai momentum kedua yang membuka ruang untuknya menjadi PM, setelah momentum pertama sebaik video ucapannya di Janda Baik yang tersebar luas itu, dibiarkan begitu saja.

Dua hari lalu, blog ini juga mencadangkan agar Muhyiddin maju selangkah lagi dengan mengusulkan Najib bercuti agar penyiasatan yang sedang dijalankan sebuah pasukan petugas khas dapat berjalan dengan licin dan tanpa gangguan.

Ini kerana sebagai orang nombor dua dalam parti kerajaan, beliaulah yang paling layak mengusulkan cadangan itu terhadap PM demi maruah parti, rakyat dan negara.

Dalam perkembangan terbaru pula, sejumlah 12 persatuan pelajar Universiti Islam Antarabangsa atau UIA turut tampil mendesak Najib agar bercuti dan Muhyiddin memangku tugasnya sehingga penyiasatan selesai dijalankan.

Bekas naib Presiden PAS, Husam Musa juga mencadangkan agar Muhyiddin bersama peguam negara segera menghadap Yang Dipertuan Agong bagi mengambil alih kepimpinan negara yang sedang kritikal ketika ini.

Adakah Muhyiddin akan terpanggil bertindak sebagaimana kemahuan ramai itu? Adakah beliau tidak mahu menjadi PM?

Lebih penting, tidak mahukah beliau menyahut kehendak rakyat yang semakin meningkat agar negara ini segera diselamatkan?

Sebenarnya bukan Muhyiddin tidak terpanggil atau enggan menyahut kehendak ramai itu. Beliau mahu, cuma masih malu-malu.

Perasaan malu-malu Muhyiddin tentu saja akan berkurangan jika lebih banyak kumpulan masyarakat sedia tampil dan memberikan sokongan kepadanya.

Pemimpin, parti politik, NGO, individu berintergriti dan pelbagai kumpulan berpengaruh dalam masyarakat seharusnya tampil memberi sokongan dan rangsangan kepada Muhyiddin kerana isu yang berlaku sekarang bukan lagi bersifat kepartian, sebaliknya demi menyelamatkan serta menjaga maruah negara di persada antarabangsa.

Para pemimpin Umno yang masih berbaki setia terhadap Najib, sedarlah ketika ini adalah masa untuk memikirkan kepentingan negara melebihi segala-galanya.

Jika semua sayangkan negara, Muhyiddin yang "mahu tapi malu-malu" harus terus dibantu serta dirangsang, manakala Najib yang tiada perasaan malu itu pula tentu saja perlu "diajar" kali ini.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .