Pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini sudah membekukan 6 akaun bank dengan perintah pembekuan dikeluarkan pada 6 Julai lalu.
Dalam satu kenyataan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan berkenaan turut mengambil dokumen berkaitan 17 akaun daripada 2 bank.
"Perintah pembekuan 6 akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes ini dikeluarkan pada 6 Julai, 2015.
"Selain itu, pasukan petugas khas juga mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari 2 buah bank bagi membantu siasatan," kata kenyataan bersama itu.
Sabtu lalu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengatakan pasukan petugas khas sudah memulakan siasatan selepas The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan berbilion ringgit wang 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pasukan petugas khas juga dalam kenyataan itu menyatakan mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menamakan bank berkenaan.
"Siasatan masih berjalan, justeru, pasukan petugas khas menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan."
Gani dalam kenyataannya pada Sabtu turut berkata, pasukan itu sudah menyerbu dan mengambil beberapa dokumen penting milik syarikat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.
“Saya mengesahkan saya menerima dokumen-dokumen mengenai 1MDB, termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada pasukan petugas khas ini.
“Saya meneliti dan menyemak semua dokumen dikemukakan. Saya seterusnya memberi nasihat dan panduan kepada pasukan petugas khas ini untuk diambil tindakan lanjut,” katanya.
Gani berkata, beliau juga sudah membuat analisis ke atas dokumen yang dirampas dan memberi jaminan siasatan akan memfokus kepada setiap aspek dibangkitkan.
Dengan keanggotaan daripada pelbagai agensi penguatkuasa, beliau percaya pasukan petugas khas berkenaan berupaya menjalankan siasatan dengan lebih profesional dan terperinci.
“Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan pasukan ini menjalankan siasatan dan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan lagi orang ramai," katanya.
No comments: