Menerusi satu surat yang ditujukan kepada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengarah C4 Cynthia Gabriel (gambar, kanan), Tan Sri Simon Sipaun, Dr Ahmad Farouk Musa dan Richard Yeoh melahirkan kebimbangan berhubung pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) dan isu lain termasuk syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Bank Negara.
"Kami sangat khuatir pengaliran dana dan magnitud mega berkenaan tidak disedari Bank Negara. Selepas C4 mengadakan perbincangan, kami memutuskan untuk mendapatkan penjelasan dan berbincang perkara berkaitan dengan bank," menerusi surat itu yang bertarikh hari ini.
"Kami kemudian memohon jika pihak bank sedar atau mempunyai pasukan risikan kewangan dalam pertimbangan antarabangsa bagi membawa perhatian atau transaksi luar biasa atau mencurigakan yang dilakukan.
"Memadailah memaklumkan kepada agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis berhubung transaksi meragukan, memberikan mandat dan jika penyiasatan sedang berlangsung sebelum ia sampai ke pengetahuan umum."
Mereka berkata satu dialog dengan Bank Negara juga akan diadakan berhubung undang-undang yang berkaitan kerana ia pernah menyatakan semua pelaburan yang melebihi RM50 juta dan pinjaman luar melebihi RM100 juta memerlukan kelulusan bank pusat itu.
WSJ pada Khamis mendakwa RM2.67 bilion dipindahkan ke akaun peribadi Najib pada 2013 menjelang pilihan raya umum lalu.
Najib menafikan dakwaan itu dan menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini menggesanya untuk meletak jawatan.
WSJ berkata, ia berpegang kepada dakwaan itu dan menyifatkan tuduhan berkenaan mempunyai bukti serta dokumen yang kukuh.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal menggesa Najib menyaman WSJ jika laporan berkenaan tidak benar.
Najib yang merupakan menteri kewangan adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
C4 sebelum ini menggesa SPRM membekukan akaun bank Najib dan membuat siasatan menyeluruh ke atas laporan yang didedahkan.
No comments: