Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengulas permintaan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang memintanya bersabar sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan perdana menteri itu ketika diminta mengulas isu berkenaan sekadar tersenyum dan mengangkat tangan sebagai tanda enggan memberikan komen.
PMO petang tadi meminta semua pihak lebih-lebih lagi anggota pentadbiran kerajaan termasuk Muhyiddin perlu menunggu hasil siasatan ke atas 1MDB sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Menurut PMO, seharusnya anggota pentadbiran kerajaan mengelakkan daripada melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat terhadap Putrajaya dan Umno.
"Siasatan sedang berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada pihak yang terbabit untuk menjalankan tugas mereka."
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak juga enggan mengulas perkara berkenaan apabila ditemui di majlis sama.
"Tak ada komen. Tanya menteri," katanya merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang kebetulan berada di majlis itu.
Semalam Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, laporan The Wall Street Journal (WSJ) RM2.67 bilion dipindahkan dari firma pelaburan negara itu ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah satu perkara yang serius dan memerlukan penjelasan.
"Apabila berita yang pertama keluar, saya menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada Perdana Menteri yang mengatakan: "Tuan, ini adalah sesuatu perkara yang serius anda perlu menafikannya". Beliau menjawab, terima kasih dan memberitahu saya beliau sudah berbuat demikian.
"Walaupun ada penafian, ia adalah dari Jabatan Perdana Menteri. Saya memberitahunya lagi bahawa beliau perlu menafikannya sendiri kerana dakwaan itu dibuat terhadapnya dan beliau perlu menafikan," katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno Cheras di Kuala Lumpur malam semalam.
sumber
No comments: