Hampir setahun setengah, Bella Dally tidak menerima sebarang tawaran berlakon.
Justeru, pelakon cantik dari Kota Kinabalu, Sabah ini merasa terkilan kerana ada pihak yang tidak mahu menerimanya bekerja gara-gara dia sudah berhijab.
Kekesalan itu disuarakan Bella atau nama penuhnya, Nabilah Ali Dally menerusi temu bualnya bersama majalah Harmoni, baru-baru ini.
Bella, 24, menghiasi kulit hadapan majalah Harmoni keluaran 1 hingga 31 Julai yang kini berada di pasaran.
Turut bergandingan bersama Bella menghiasi kulit hadapan majalah Harmoni ialah bekas pengacara MHI TV3, Nurul Shuhada.
Tetapi Bella atau nama penuhnya, Nabilah Ali Dally ini tidak pernah merasa kesal dengan keputusannya untuk berhijab penuh.
“Biarpun terkilan tetapi saya tidak pernah berputus asa terhadap karier seni yang begitu saya cintai. Malah, saya anggap ini sebagai satu dugaan dalam penghijrahan saya,” katanya kepada majalah Harmoni.
Oleh itu, aktres berdarah kacukan Melayu-Pakistan di sebelah bapa dan Filipina-Eurasian di sebelah ibunya ini sudah bersedia untuk meniti semula langkah-langkah dalam industri lakonan.
“Sejujurnya, masih banyak lagi perkara yang belum saya capai dalam karier. Saya masih merangkak untuk mendapat kepuasan sebegai seorang pelakon.
“Saya juga sedar, bukan mudah untuk bertahan dalam industri ini,” kata Bella yang sudah lima tahun menceburi bidang seni.
Rezeki Bertudung
Meskipun dalam bidang lakonan, Bella kurang mendapat tawaran semenjak bertudung, namun dalam bidang pengiklanan pula, rezeki Bella terbuka luas semenjak dia berhijab.
Dia kini dipilih menjadi ikon fesyen wanita bagi butik eksklusif, Ariani.
“Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan untuk menjadi duta Ariani bagi pakaian serta tudung.
“Pastinya saya sangat teruja apabila dilantik menjadi duta butik terkemuka tersebut. Saya percaya ini semua adalah rezeki daripada tuhan.
“Saya diberitahu bahawa pemilihan saya sebagai duta Ariani adalah kerana perwatakan saya yang mencerminkan wanita Muslimah serta bijak membawa diri,” cerita Bella.
Baca lagi kisah selanjutnya mengenai Bella Dally lebih-lebih lagi mengenai sejauh mana hubungannya dengan aktor Nazim Othman, dalam majalah Harmoni.
No comments: