Laporan interim Ketua Audit Negara (AG) berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak boleh didedahkan kepada umum sehingga ia dibentangkan kepada Parlimen, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee.
Ia susulan perdebatan antara dua ahli Parlimen berhubung pendedahan hasil siasatan ke atas syarikat sarat hutang itu kepada umum.
Kiandee dalam twitter rasminya @rkiandee berkata: "Laporan Ketua Audit Negara sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan kini ia menjadi sebahagian daripada bukti. (Oleh itu) Peraturan Mesyuarat 85 adalah terpakai".
Peraturan Mesyuarat 85 menyatakan mana-mana penerbitan asal bukti dan keterangan atau "keterangan yang diambil mana-mana jawatankuasa yang dipilih dan apa-apa dokumen yang dikemukakan kepada jawatankuasa itu tidak boleh disiarkan oleh mana-mana ahli jawatankuasa itu, atau oleh mana-mana orang lain, sebelum ia membentangkan laporan berkenaan kepada dewan".
Kiandee turut menulis catatan tweetnya itu kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Rahman sebelum ini berdebat di laman Twitter dan melalui media dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung perkara itu.
Pua pada minggu lepas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan laporan interim itu kepada umum bagi memperjelaskan semua maklumat yang tidak benar dan kekeliruan berhubung skandal itu.
Ini termasuk semua isu yang dibangkitkan laman web pemberi maklumat Sarawak Report dan The Edge Media Group, termasuk dakwaan pengubahsuaian data dalam perjanjian antara firma pelaburan negara itu dengan PetroSaudi International (PSI).
Bagaimanapun, Rahman berkata, cadangan Pua tidak boleh diguna pakai.
Dalam satu siri tweet tiga hari lepas, menteri Umno itu berkata perdana menteri tidak mempunyai kuasa untuk mendedahkan laporan interim berkenaan kepada umum kerana tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat.
"Malah, maklumat yang dikemukakan atau dibincangkan dalam PAC tidak boleh didedahkan kepada umum oleh ahli PAC sehingga mereka menyerahkannya kepada Dewan Rakyat.
"Peraturan ini dibuat supaya tidak ada ahli PAC boleh membincangkan siasatan yang tidak lengkap atau menjalankan siasatan di luar PAC, supaya tidak mengelirukan orang ramai," katanya dalam catatan Twitternya.
Bagaimanapun, Pua, pengkritik kuat 1MDB berkata, kenyataan yang dikeluarkan Rahman "sama sekali mengarut" dan menegaskan Najib yang juga menteri kewangan berkuasa mengarahkan peguam negara mendedahkan hasil siasatan itu kepada umum.
"Sementara prosiding PAC memang tidak boleh didedahkan kepada umum sehingga laporan jawatankuasa itu dibentangkan di Parlimen, itu hanyalah laporan PAC, bukan mana-mana laporan AG.
"PAC sebenarnya tidak berkuasa menghalang mana-mana dokumen yang dikemukakan kepada jawatankuasa itu untuk dibentangkan kepada umum atau mana-mana pihak," kata Pua yang merupakan ahli dalam jawatankuasa berkenaan.
Syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, 1MDB, mendapat perhatian ramai terutamanya membabitkan bebanan hutang sebanyak RM42 bilion sejak ia ditubuhkan pada 2009.
Firma pelaburan negara itu juga memecat dua daripada juruauditnya, KPMG and Ernst & Young, dalam tempoh 4 tahun.
Ia tidak berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menyelesaikan kadar faedah hutangnya.
Ini meningkatkan kebimbangan rakyat berhubung beberapa hutangnya yang dibuat dengan sokongan kerajaan kerana ia bermakna kerajaan akan bertanggungjawab melangsaikan hutangnya sekiranya ia ingkar.
Oleh itu, firma itu kini sedang berusaha untuk melupuskan asetnya, iaitu loji penjanaan kuasa dan tanah, untuk memudahkan aliran tunai.
1MDB sedang disiasat satu pasukan petugas khas yang anggotanya termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan juga berdepan dengan siasatan berasingan ke atas akaunnya oleh AG, dengan laporan penuh Jabatan Audit Negara dijadual diserahkan akhir tahun ini.
Laporan interim 1MDB sudah diserahkan kepada PAC pada 9 Julai lalu ketika jawatankuasa PAC juga masih sedang menjalankan siasatan terhadap firma itu.
sumber
No comments: