Laporan interim Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diserahkan hari ini kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) dilihat membangkitkan lebih banyak persoalan mengenai syarikat sarat hutang itu, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Pengerusi PAC itu berkata, ini kerana ianya membabitkan pengauditan terhadap 1MDB dan anak syarikatnya berdasarkan penyata kewangan bermula 2010 hingga 2014.
Katanya, laporan itu juga membabitkan audit penyata kewangan dan pelaburan 1MDB seperti Petro Saudi, hartanah yang siasatan masih lagi berlangsung dan hanya dapat dilengkapkan hujung tahun ini.
"Yelah ia kerana siasatan berterusan, peringkat seterusnya kita memanggil lembaga pengarah dan ketua eksekutif.
"Jadi ia lebih banyak persoalan berdasarkan maklumat yang disahkan oleh jabatan audit negara," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat laporan interim1MDB di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan interim tersebut, bagaimanapun katanya, masih terlalu awal bagi PAC membuat sebarang kesimpulan mengenai perkara tersebut.
Ahli Parlimen Pulai itu juga memuji usaha Jabatan Audit Negara melengkapkan laporan interim setebal 71 muka surat dengan berkata ia memberi maklumat terperinci yang diperlukan PAC.
"Laporan ini dibuat secara telus dan memberi maklumat yang amat baik kepada PAC untuk meneruskan siasatan di mana kita akan memanggil ketua pengarah eksekutif dan 1MDB pada Ogos ini,” katanya.
Hari ini adalah sesi taklimat laporan Jabatan Audit Negara berhubung siasatan syarikat 1MDB milik kerajaan susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Mac lalu.
Jazlan berkata, laporan itu mengambil masa selama 3 bulan untuk disiapkan bermula Mac hingga hujung Jun.
Skop audit interim tersebut turut membabitkan analisis penyata kewangan dan pelaburan 1MDB seperti PetroSaudi, hartanah dan tenaga serta kronologi awal syarikat sarat hutang bermula daripada dikenali sebagai Terengganu Investment Authorty (TIA) sehingga diambil Putrajaya pada 31 Julai, 2009.
"Laporan ini juga melibatkan struktur organisasi 1MDB iaitu lembaga pengarah, penasihat dan pengurusan kanan," katanya.
Beliau berkata, PAC juga dimaklumkan skop analisis penyata kewangan pelaburan kumpulan 1MDB bermula pada 27 Februari, 2009 hingga 30 Mac tahun lepas berdasarkan kepada 4 komponen.
"Komponen itu ialah jaminan dan pinjaman kewangan kerajaan terhadap 1MDB dan ini fokus kepada aset kumpulan 1MDB termasuk pembiayaan dan penggunaan dana dan kajian terhadap penyata kewangan kumpuan 1MDB bermula 2010 hingga 2014 menyentuh mengenai pelaburan usahasama," katanya.
Katanya, siasatan Jabatan Audit Negara meliputi pemeriksaan dokumen diperoleh daripada pelbagai sumber seperti 1MDB, firma audit dan kementerian kewangan.
"Laporan interim juga berdasarkan temubual dan perbincangan yang dibuat dengan majoriti lembaga pengarah dari awal sehingga sekarang termasuk bekas ketua pengarah eksekutif dan juga pengurusan serta juruaudit," katanya.
sumber
No comments: