» » Gesa suruhanjaya diraja ditubuh untuk siasat laporan WSJ berkaitan skandal Najib Razak


Kumpulan progresif dalam PAS yang kini menggelar diri mereka Gerakan Harapan Baru, hari ini menggesa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan sejumlah wang yang besar disalurkan kepada akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Permintaan itu dibentangkan dalam satu memorandum oleh anggota Pemuda kumpulan tersebut di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

"Kami berharap Yang di-Pertuan Agong dapat menubuhkan RCI bagi segera menyiasat dakwaan yang dilemparkan Wall Street Journal (WSJ) terhadap Najib," kata penyelaras kumpulan itu, Mohd Sany Hamzan.

"Ini melibatkan integriti dan moral negara kita dan dakwaan yang berkaitan dengan pecah amanah dan rasuah oleh pemimpin kerajaan," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada pegawai istana.

Tindakan kumpulan itu merujuk kepada pendedahan WSJ minggu lepas RM2.6y bilion (AS$700 juta) disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib daripada syarikat berkaitan firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjelang pilihan raya umum Mei 2013.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Najib yang mengatakan beliau tidak pernah mengambil dana awam untuk kegunaan peribadinya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Gerakan Harapan Baru Dr Mohd Hatta Ramli berkata, mereka juga menamakan dua bekas ketua hakim Tun Salleh Abbas dan Tun Abdul Hamid Muhamad untuk mengetuai RCI yang dicadangkan tersebut.

"Cadangan kami supaya 2 bekas ketua hakim mengetuai penyiasatan ini ialah bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan tanpa sebarang halangan," katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Krai berkata, jika dakwaan itu terbukti tidak berasas, tindakan undang-undang harus diambil terhadap pihak yang mendakwa.

Katanya, setakat ini, masih tiada penafian kukuh dan penjelasan meyakinkan bagi menolak dakwaan yang dibuat laporan WSJ itu, sambil menambah akhbar perniagaan itu mempunyai reputasi yang teguh pada kewartawanannya.

"Tetapi, jika ia membuktikan (dakwaan adalah benar), tindakan undang-undang perlu diambil untuk memulihkan integriti negara," kata Hatta.

Dalam menafikan dakwaan itu, Najib juga menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung laporan WSJ itu, mengatakan beliau bekerjasama dengan ejen luar negara bagi tujuan itu.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .