Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan menganjurkan "perhimpunan Bersih 4" sekiranya masih tiada jawapan tentang siasatan terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Maria Chin Abdullah.
Pengerusi Bersih 2.0 itu turut menggesa Datuk Seri Najib Razak mengambil cuti sebagai perdana menteri dan segala jawatan yang dipegang agar siasatan berhubung skandal terkini susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai aliran wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya dapat dijalankan.
Maria turut menggesa akaun isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya perlu dibekukan sewaktu siasatan dijalankan.
"Najib juga perlu mendedahkan kepada umum butiran akaun banknya dan menjelaskan jika akaun AmBank yang wujud di atas namanya. Jika ya, tunjukkan butiran transaksi tersebut pada hari yang berkenaan," kata Maria pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
"Semua hasil siasatan Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat-syarikat yang berkaitan perlu diumumkan kepada umum dalam tempoh yang segera," katanya.
Maria berkata empat perkara ini perlu dilakukan dalam tempoh kurang dari sebulan kerana ia adalah perkara yang mudah untuk dilakukan.
"Kami memang memikirkan mengenai itu (Bersih 4) tetapi kami mahukan jawapan daripada 4 perkara ini terdahulu.
"Sebab mengapa kami menekankan 4 perkara ini adalah kerana ia membabitkan wang rakyat. Beliau membuat pelbagai kenyataan tetapi tiada tindakan daripadanya.
"Contohnya, jika selepas sebulan tiada apa-apa yang berlaku, semua institusi awam tidak mahu memberitahu kita apa yang terjadi, semua orang akan berasa marah. Dan bukan sahaja kami yang menyeru untuk Bersih 4 diadakan, tetapi rakyat yang akan menuntut supaya ia diadakan," katanya.
No comments: