» »Unlabelled » 'Fact Sheet yang disediakan untuk jemaah menteri berkaitan skandal 1MDB tidak komprehensif'


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjelasan berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diperolehi Jemaah Menteri melalui satu 'fact sheet', tidak komprehensif dan terlalu ringkas.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, kandungan penjelasan fakta yang diberikan juga tidak memadai memandangkan isu membabitkan syarikat pelaburan strategik negara itu adalah perkara besar.

"Memang ada 'fact sheet' yang agak ringkas, tidak begitu komprehensif, dan hanya menyatakan data yang hanya boleh dilihat dalam tempoh 5 hingga 10 minit.

"Ia tidak memadai, kerana 1MDB ini isu besar. Sebab itu saya perlu dapatkan maklum balas," kata Muhyiddin kepada pemberita pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

"Sebagai ahli parti dan waktu itu saya ahli jemaah menteri, saya punyai tanggungjawab, amanah, yang harus saya pikul sebaik-baiknya," kata Muhyiddin merujuk gesaannya sebelum ini berhubung siasatan terhadap 1MDB yang dilihat punca beliau digugurkan dari Kabinet.

Muhyiddin bagaimanapun tetap optimis isu skandal 1MDB akan dapat diselesaikan.

"Saya yakin isu 1MDB akan dapat diselesaikan. Isu ini agak besar dan langkah tertentu diambil untuk menanganinya... siasatan sudah bermula untuk memastikan jika ada salah laku.

"Perkara ini menunggu laporan lengkap ketua audit negara. Yang penting laporan lengkap. Ini mungkin dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, tiada satu isu pun di negara ini yang tidak dapat diselesaikan.

"Tanggungjawab dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Walaupun ada rombakan, saya fikir ia akan diselesaikan apabila Parlimen bersidang.

"Bagi saya tidak ada satu perkara sebesar mana pun di Malaysia yang kita tidak boleh selesaikan," katanya.

Muhyiddin turut berkata, tindakan segera juga harus diambil untuk menyelesaikan perkara itu kerana rakyat akan terus mempersoalkannya selagi isu membabitkan 1MDB tidak diselesaikan.

"Saya fikir kita perlu melihat tindakan yang diambil dapat menyelesaikan perkara itu seberapa segera.

"Kalau lama sangat, rakyat akan persoalkan," kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Ditanya sama ada beliau memperolehi maklumat yang lebih mendalam berhubung isu 1MDB, Muhyiddin berkata:"Apa yang saudara tahu, saya mungkin tahu lebih sedikit."

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .