» » Curiga dengan kredibiliti pasukan petugas khas yang siasat 1MDB


Parti pembangkang hari ini mempersoalkan kredibiliti siasatan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat isu membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian (PKR), Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (PAS), dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng (DAP) berkata pasukan berkenaan hanyalah 'pegawai bawahan' kepada 'ketua' mereka yang kini sedang disiasat.

"Kemampuan pasukan siasatan khas yang ingin menyiasat dakwaan laporan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) mengenai aliran wang syarikat bermasalah milik negara, 1MDB yang didakwa terus masuk ke akaun peribadi Najib, sewajarnya dicurigai.

"Ini kerana 4 Tan Sri yang mengetuai siasatan ini merupakan ‘pegawai bawahan’ kepada pihak yang sedang mereka siasat, ‘ketua’ mereka, iaitu perdana menteri," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka juga mempersoalkan kemampuan keempat-empat Tan Sri tersebut iaitu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim dan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz untuk menjalankan siasatan secara bebas.

Mereka berkata, rakyat Malaysia juga pasti sukar mempercayai siasatan itu.

"Sekiranya pasukan siasatan khas ini dikekalkan, kami pasti rakyat Malaysia sukar untuk menerima hasil siasatannya.

"Lebih-lebih lagi sekiranya ia membebaskan perdana menteri daripada sebarang pertuduhan salah laku.

"Ini kerana, penyiasatnya adalah kawan-kawan serta pegawai bawahan Najib sendiri," kata mereka sambil meminta individu lain dilantik menggantikan tempat 4 Tan Sri itu.

Mereka berkata, keadaan itu menjadi lebih buruk apabila Najib masih belum direhatkan daripada jawatannya.

"Kami percaya, demi prinsip ketelusan dan kebebasan serta menjaga nama baik perdana menteri, 4 Tan Sri ini tidak mempunyai sebarang bantahan membenarkan individu lain menggantikan tempat mereka dalam pasukan khas terbabit.

"Kami juga percaya 4 Tan Sri ini tidak akan ada masalah membenarkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja mengambil alih siasatan ini," kata mereka.

Mereka berkata, pendedahan demi pendedahan dibuat akhbar perniagaan WSJ mendesak supaya negara menyiasat dakwaan berat tersebut secara bebas dan telus, sesuai dengan standard antarabangsa.

"Sesuatu pasukan penyiasat semestinya bukan saja bebas tetapi mesti diyakini bebas oleh rakyat jelata.

"Terutama sekali apabila yang disiasat adalah pembesar negara dan kesnya melibatkan jumlah ribuan juta," kata mereka.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .