» » Surat peguam Najib Razak kepada WSJ hanya satu muslihat untuk lengahkan masa


Sesuatu yang tidak masuk akal untuk peguam Datuk Seri Najib Razak menghantar surat meminta penjelasan kepada penerbit The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri, kata peguam, sambil mencadangkan ia sekadar satu muslihat untuk melengahkan masa.

Mereka menegaskan, firma guaman yang bertindak bagi pihak pelanggan yang terkilan biasanya akan mula-mula menghantar surat tuntutan kepada penerbit dan kemudian memfailkan saman fitnah jika tidak dibuat penarikan balik dan permohonan maaf.

Peguam berkata surat itu seolah-olah menunjukkan Najib tidak pasti sama ada hendak membawa WSJ ke mahkamah atau tidak kerana mencemarkan reputasinya.

Peguam Fahri Azzat berkata, langkah yang diambil oleh peguam Najib untuk mendapatkan penjelasan dan butiran lanjut merupakan satu "prosedur ingin tahu."

"Mereka tidak seperti dalam keadaan bersegera untuk memulakan tindakan saman fitnah terhadap WSJ," kata Fahri.

Peguam itu berkata, artikel yang disiarkan WSJ Jumaat lalu, mengenai sejumlah besar wang yang didepositkan ke dalam akaun bank Najib, berunsur fitnah dan surat tuntutan sepatutnya dihantar kepada penerbit berkenaan.

"Tetapi, akhbar itu menyiarkan keterangan dokumentari semalam untuk menyokong laporannya," katanya.

Fahri mengulas surat yang dihantar firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak kepada Dow Jones, pemilik WSJ memintanya bertindak balas dalam masa 14 hari menyatakan sama ada Najib menyelewengkan hampir AS$700 juta daripada 1MDB.

"Kami diarahkan anak guam kami (Najib) untuk mendapatkan pengesahan sama ada anda berpendirian, seperti dalam artikel itu, yang pelanggan kami menyelewengkan hampir AS$700 juta daripada 1MDB?

"Kami diarahkan mendapatkan pendirian anda kerana artikel itu secara kolektifnya menunjukkan anda tidak pasti 'sumber asal wang itu dan apa yang berlaku kepada wang itu', tetapi sebaliknya, kandungan umum artikel itu mewujudkan gambaran yang jelas mengatakan pelanggan kami menyalahgunakan AS$700 juta milik 1MDB,"kata surat yang dikirim melalui emel itu," katanya.

Surat itu merujuk kepada 2 artikel bertajuk "Malaysia leader's accounts probed" (Akaun pemimpin Malaysia disiasat) terbitan 2 Julai dan "Scandal in Malaysia" (Skandal di Malaysia) terbitan 6 Julai, kedua-duanya ditulis Simon Clark dan Tom Wright.

Surat itu juga menunjukkan kemungkinan kedua-dua penerbitan dan penulis akan didakwa.

"Sila maklumkan kepada kami sama ada anda melantik peguam di Malaysia untuk menerima penyampaian prosiding undang-undang bagi pihak anda dan bagi pihak wartawan yang menulis artikel itu jika prosiding undang-undang perlu diadakan," kata surat itu.

Peguam New Sin Yew berkata peguam yang layak menentukan sama ada sesuatu penerbitan itu berunsur fitnah atau sebaliknya.

"Ia bukan perkara biasa bagi peguam untuk mendapatkan penjelasan sebelum membuat keputusan memfailkan tuntutan di mahkamah. Hanya baca artikel itu dan putuskan sama ada perdana menteri difitnah atau tidak," katanya.

New berkata, surat kepada WSJ itu sama seperti meminta penerbit berkenaan membantu dalam membuat keputusan sama ada untuk memulakan tindakan undang-undang atau tidak.

"Ini satu surat yang pelik dan ia mendedahkan perdana menteri tidak pasti dengan pendiriannya," katanya.

Peguam N Surendran berkata, dakwaan terhadap Najib jelas iaitu sejumlah besar wang dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

"Tiada apa lagi untuk dijelaskan. Peguam beliau hanya perlu senaraikan permintaan mereka dalam surat tuntutan, termasuk satu aku janji yang WSJ tidak akan mengulangi dakwaan itu," katanya.


Katanya, langkah berikutnya ialah memfailkan saman jika tuntutan tidak dipenuhi.

Surendran berkata, beliau percaya WSJ akan mencabar sebarang tindakan saman oleh Najib di Malaysia atau di mana-mana bidang kuasa lain kerana akhbar itu berdiri teguh di belakang penulisannya, mengatakan ia berdasarkan bukti yang kukuh.

Khamis lepas, WSJ mendakwa sehingga AS$700 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib dengan AmPrivate Bank, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Najib bagaimanapun berkata, beliau tidak pernah mengambil sebarang dana daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan laporan terkini itu kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang beberapa bulan kebelakangan ini sering menggesa Najib meletak jawatan.

Dokumen itu, menurut WSJ diperoleh daripada "siasatan kerajaan Malaysia," termasuk borang permohonan kiriman wang, surat kuasa deposit wang tunai dan carta yang menggariskan aliran wang.

Dalam borang itu, butiran pembayaran disenaraikan sebagai pemindahan dana untuk "program CSR" (tanggungjawab sosial korporat).



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .