Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan supaya bercuti daripada menjalankan tugas kerajaan dengan serta-merta sementara siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai, kata Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0).
Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, Najib juga perlu mengosongkan jawatan menteri kewangan supaya siasatan dapat dijalankan secara bebas dan berkredibiliti.
"Jika beliau enggan berbuat demikian, Bersih 2.0 amat yakin dan percaya rakyat Malaysia bersedia untuk mengiringi beliau dan keluarganya keluar," katanya.
Katanya, tidak wajar bagi Najib untuk terus mengetuai kerajaan setelah pendedahan demi pendedahan dibuat terhadap kredibiliti dan integritinya, terutama mengenai persoalan dana 1MDB digunakan untuk 'membeli' Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
Badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, menjelang ulang tahun keempat penubuhannya esok, pihaknya akan terus mengulangi tuntutan supaya penambahbaikan institusi dijalankan bagi menghentikan korupsi politik daripada terus berulang.
"Pertama, menjamin pilihan raya yang berjalan secara adil bagi memastikan ahli politik korup boleh ditewaskan; Kedua, menghentikan pemusatan kuasa daripada tangan eksekutif; dan ketiga, memelihara hak untuk berbeza pandangan politik," katanya.
Beberapa pemimpin pembangkang daripada DAP dan PKR sebelum ini juga mendesak Najib bercuti, namun menteri Umno termasuk Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan tiada keperluan presiden Umno itu berbuat demikian dan hanya perlu mengambil cuti jika dikenakan dakwaan mahkamah.
sumber
No comments: