» » Kenaikan tol di Malaysia akan beri ruang konsesi serap kos pembiayaan


Kadar kenaikan tol berjadual memberikan ruang kepada syarikat konsesi untuk menyerap kos pembiayaan dan penyenggaraan yang semakin meningkat secara lebih baik serta sebagai caj perkhidmatan.

Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) berkata pertimbangan untuk menaikkan kadar tol bukan semata-mata berdasarkan perjanjian antara kerajaan dan operator tol, tetapi juga berdasarkan perjanjian antara operator tol dan pembiaya mereka.

"Walaupun persatuan menghargai pandangan diberikan dalam artikel itu, kami mahu memberi penjelasan terhadap beberapa salah tanggapan dalam hujahan terhadap kenaikan tol seperti dipaparkan," katanya sebagai respons terhadap laporan dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu pada 7 Julai mengenai kemungkinan tol dinaikkan.

"Seperti dihujahkan dalam artikel itu kadar tol tidak patut dinaikkan ekoran kesesakan trafik masih menjadi isu, persatuan ingin menjelaskan terdapat banyak faktor yang mewajarkan kenaikan, misalnya, konsesi lebuh raya meminjam dan membelanjakan ratusan juta bagi pembangunan dan fasiliti lebuh raya.

"Lebuh raya dan fasiliti perlu disenggarakan secara tetap dan dinaik taraf untuk keselesaan dan kemudahan pengguna, manakala fasiliti dan infrastruktur baharu perlu dibina ... kutipan tol membolehkan konsesi membiayai perbelanjaan berkenaan," katanya.

Menurut kenyataan itu, kenaikan tol berjadual dibenarkan dalam Perjanjian Konsesi (CA) ditandatangani antara kerajaan dan setiap operator lebuh raya.

"Lebuh raya dibangunkan di bawah konsep penswastaan, objektifnya untuk membolehkan banyak rangkaian lebuh raya dibina sektor swasta pada kadar kecepatan dan kos yang mungkin tidak dapat dicapai jika pembangunannya dilaksanakan atau dibiayai kerajaan secara bersendirian.

"Sebagai contoh, konsesi tol membelanjakan hampir RM40 bilion bagi kos pembinaan saja untuk membina 30 lebuh raya di seluruh negara, dengan itu menjimatkan wang kerajaan yang mungkin boleh digunakan untuk kemudahan lain seperti sekolah dan hospital.

"Konsep penswastaan juga bersandarkan andaian hanya mereka yang menggunakan lebuh raya patut membayarnya, atau dikenali sebagai konsep pengguna-bayar.

"Berdasarkan konsep ini juga, kenaikan tol berjadual dimasukkan dalam CA. Bagaimanapun, terdapat banyak kali yang kerajaan menolak permohonan daripada operator tol untuk menaikkan kadar tol.

"Apabila ini berlaku, kerajaan membayar pampasan kepada konsesi yang berkenaan, dan bayaran ini dibuat daripada dana persekutuan. Ini tidak selaras dengan konsep pengguna-bayar, yang secara tidak langsung membebankan pembayar cukai di seluruh negara," menurut persatuan itu.

PSKLM berkata digambarkan dalam artikel akhbar itu operator tol adalah "cash cows" atau 'mengaut keuntungan' dan dengan itu, kenaikan adalah tidak wajar.

"Kami ingin menyatakan Lembaga Lebuhraya Malaysia menganggarkan secara umumnya, 75% tol dikutip adalah untuk membayar hutang manakala 20% lagi dibelanjakan untuk penyenggaraan dan overhed.

"PLUS, misalnya, dengan kutipan tol berjumlah RM3 bilion, sejumlah besar digunakan untuk pembayaran balik pinjaman (50%). Bakinya adalah untuk diagihkan sebagai bayaran kos pengurusan (13%), kos penyenggaraan berjadual (12%), pulangan kepada pemegang saham (10%), kos penyenggaraan (8%) dan kos naik taraf (7%)," katanya.

Katanya, bagi Lebuhraya Utara-Selatan saja, Plus membelanjakan lebih RM20 bilion bagi pembinaan, operasi dan penyenggaraan sejak dibina.

"Persatuan dan kerajaan sedang berbincang untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kenaikan berjadual akan datang.

"Ini akan turut mengambil kira banyak isu seperti kenaikan kos hidup, obligasi kewangan anggota kami sendiri dan keperluan untuk terus menyediakan perkhidmatan dan fasiliti terbaik untuk kemudahan, keselesaan dan keselamatan perjalanan untuk semua orang," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .