Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan gaya sinis yang sinonim dengannya memilih tidak bercakap tentang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana ia kini dianggap satu "jenayah" jika berbuat demikian.
Beliau berkata demikian sewaktu ditanya jika beliau bersedia mengulas tentang isu semasa pada sidang media selepas melancarkan Liver Centre, Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur hari ini.
"Saya tak boleh jawab apa-apa soalan tentang 1MDB kerana ia kini satu jenayah untuk bercakap tentang 1MDB," katanya pada sidang media pagi ini.
Dr Mahathir sebelum ini kerap mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak termasuk operasi 1MDB yang diilhamkan perdana menteri sendiri.
Beliau mengkritik menerusi blognya dan mendesak satu suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat operasi 1MDB kerana audit yang dibuat ketika ini katanya tidak akan mendedahkan beberapa personaliti yang sering dikaitkan dengan dana pelaburan strategik itu.
Katanya, ketua audit negara boleh mengaudit namun ia tidak akan mendedahkan apa-apa, oleh itu lebih baik ditubuhkan satu suruhanjaya untuk meneliti setiap tindakan 1MDB serta ahlinya yang bukan dipilih oleh kerajaan.
1MDB kini disiasat satu pasukan petugas khas yang menahan reman 5 individu bagi membantu siasatan.
Kelima-lima yang ditahan sudah dibebaskan namun siasatan 1MDB terbantut seketika kerana bekas peguam negara, Tan Sri Gani Patail ditamatkan perkhidmatan atas alasan kesihatan.
No comments: