» » Bekas pengerusi MARA juga perlu jelaskan skandal di Australia


Rafizi Ramli hari ini menggesa bekas pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh, tampil menjelaskan skandal pembelian hartanah di luar negara melibatkan agensi kerajaan tersebut.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, tidak adil untuk Idris terus berdiam diri memandangkan semua skandal itu berlaku ketika beliau memegang jawatan utama di Mara.

"Beliau sekurang-kurangnya perlu tampil dan bertanggungjawab memberi penjelasan," kata Rafizi pada sidang media di pejabat National Oversight and Whistleblowers (NOW) hari ini.

Beliau yang juga pengarah pertubuhan pembocor rahsia NOW itu turut menyifatkan tidak adil hanya dua individu dalam Mara yang diambil tindakan, kerana mendakwa mereka seolah-olah dijadikan "kambing hitam".

Wakil rakyat Pandan itu merujuk kepada dua pegawai atasan Mara yang digantung tugas, Pengerusi Mara Inc yang juga bekas Adun Sabah Lan Allani dan Ketua Eksekutif Mara Halim Rahman.

Menurut Rafizi, jika terdapat kesilapan atau tersalah pandang dalam urus niaga hartanah tersebut, Idris sekurang-kurangnya perlu meminta maaf dan tidak hanya berdiam diri sahaja.

"Sekurang-kurangnya beliau perlu meminta maaf, ini perlu dijadikan amalan kerana kita faham mereka kadang-kadang terlepas pandang atau membuat kesilapan," katanya.

Sementara itu, Rafizi juga mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memberi penjelasan dan memberi tumpuan dalam isu skandal Mara ini juga.

"Kita memahami Najib sibuk dengan urusan peribadinya ketika ini, tetapi beliau juga perlu memberi penjelasan atau sekurang-kurangnya juga meminta maaf kerana kelulusan pembelian ini dibuat dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikannya," kata Rafizi.

Sebuah akhbar berpengkalan di Australia, The Age pada minggu lalu melaporkan Mara melalui anak syarikatnya, Mara Inc membeli hartanah RM63.5 juta walaupun nilai asal hanya RM51 juta.

Perbezaan harga itu katanya dimasukkan sebagai ganjaran rasuah kepada pegawai Mara.

Susulan pendedahan itu, Rafizi juga mendedahkan tiga lagi pembelian hartanah di Australia yang dibuat Mara, dibeli pada harga melebihi nilai pasaran.

Susulan pendedahan media Australia, pihak berkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan Mara menggantung dua pegawai atasannya bagi membantu siasatan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .